Isnin, 1 Februari 2021 | 11:01am
Achey dan Mr Bomb menghantar sumbangan cecair pembasmi kuman ke beberapa sekolah menengah sekitar Lembah Klang. - Foto SugarBomb Worldwide
Achey dan Mr Bomb menghantar sumbangan cecair pembasmi kuman ke beberapa sekolah menengah sekitar Lembah Klang. - Foto SugarBomb Worldwide

Achey agih 10,000 cecair pembasmi kuman

KUALA LUMPUR: Hati pelakon dan pelawak popular, Achey terusik ketika turun padang menghantar bantuan cecair pembasmi kuman ke sekolah sekitar Lembah Klang ketika pandemik COVID-19 menunjukkan angka yang membimbangkan.

Atas dasar keprihatinan terhadap guru dan pelajar sekolah, Achey dengan kerjasama syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn Bhd menyumbangkan cecair berkenaan kepada 10 sekolah menengah dan tadika terpilih, selain turut menjenguk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

Menerusi program SugarBomb Care For You, sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, tidak lama lagi.

Bagi Achey, cecair pembasmi kuman kini menjadi keperluan asas sebagai alat perlindungan diri dalam usaha mencegah penularan pandemik COVID-19 yang semakin menggila.

"Siapa tak takut keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif COVID-19.

"Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke PPD Klang, baru-baru ini. Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik," katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu berkata, dia melihat sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

"Saya tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan. Apabila tiba ke sekolah, guru menunggu pasukan SugarBomb untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi. Tanpa mengira sesiapa yang hadir, kena ikut SOP. Paling utama, kena ada surat kebenaran menghantar sumbangan kerana tidak boleh memasuki sekolah sesuka hati," katanya yang juga duta SugarBomb hadir bersama Maskot, Mr Bomb

Atas dasar keprihatinan terhadap guru dan pelajar, Achey dan SugarBomb Worldwide agih cecair pembasmi kuman kepada sekolah menengah dan tadika terpilih. - Foto SugarBomb Worldwide
Atas dasar keprihatinan terhadap guru dan pelajar, Achey dan SugarBomb Worldwide agih cecair pembasmi kuman kepada sekolah menengah dan tadika terpilih. - Foto SugarBomb Worldwide

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah itu berkata, dia perlu memakai pelitup wajah dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.

"Sebelum ini, kakak yang juga seorang guru pernah memberitahu SOP yang ditekankan di sekolah. Dalam hati, saya macam tak percaya. Tetapi, saya baru tahu betapa ketatnya kawalan apabila turun padang ke sekolah.

"Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang.

"Saya lihat besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar, berpeluh-peluh mereka turun naik menyambut tetamu, selain membantu mengangkat barang," katanya.

Anggota kumpulan Bocey itu berkata, dia tidak kisah turun padang menghantar bantuan pada saat pandemik tinggi.

"Kerja program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebih mencabar apabila dilakukan ketika pandemik dengan penekanan norma baharu. Walaupun artis, tetap kena ikut SOP ketat.

"Saya turun padang bukan hanya kerana kerja duta SugarBomb, tetapi inilah peluang mendekati golongan pendidik.

"Sebagai public figure, saya perlu ada tanggungjawab membantu mencegah penularan COVID-19. Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan pendidik juga sama," katanya.

Maskot, Mr Bomb bersama guru sekolah taska sekitar Lembah Klang yang menerima pengagihan cecair pembasmi kuman. - Foto SugarBomb Worldwide
Maskot, Mr Bomb bersama guru sekolah taska sekitar Lembah Klang yang menerima pengagihan cecair pembasmi kuman. - Foto SugarBomb Worldwide

Sementara itu, Pengarah Urusan SugarBomb Worldwide, Ahmad Azhari Rosli berkata, program SugarBomb Care For You adalah sebahagian usaha mendekati golongan sasaran menerusi CSR.

"Kami lihat ramai guru dan pelajar yang terpaksa ke sekolah ketika jangkitan COVID-19 menunjukkan angka tinggi.

"Mereka menjadi golongan berisiko tinggi apabila keluar rumah. Atas dasar keprihatinan, kami agih 10,000 botol cecair ini kepada sekolah sekitar Lembah Klang.

"Kami memilih sekolah yang mempunyai ramai pelajar. Ini sebahagian usaha membantu sekolah dalam meringankan bebanan. Apa yang diketahui, sekolah wajib menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan guru dan pelajar," katanya.

Antara sekolah yang menerima sumbangan termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Sekolah Menengah Perempuan Kapar, Sekolah Menengah Tinggi Klang, Taska Sirajuddin, Taska Al Munawarrah, Taska Mawaddah dan Taska Al Syabab.

Ahmad Azhari berkata, pihaknya tidak kisah berkongsi rezeki pada ketika kebanyakan syarikat mengambil langkah berjimat cermat.

"Kami berterima kasih kepada pengguna yang memberi sokongan kepada jenama SugarBomb. Jadi, kami berkongsi semula sumbangan dalam bentuk program CSR untuk membalas budi.

"Insya-Allah, kami merancang mengedarkan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan sekolah, setiap bulan," katanya.

SugarBomb Worldwide menghasilkan dan menjual lebih satu juta botol cecair pembasmi kuman sejak pandemik COVID-19 menyerang sejak sembilan bulan lalu.

Berita Harian X