Ahad, 17 Januari 2021 | 10:57pm
Shima Anuar amat merindui anak-anaknya apabila tidak boleh bertemu dalam tempoh kuarantin. - Foto IG Shima Anuar
Shima Anuar amat merindui anak-anaknya apabila tidak boleh bertemu dalam tempoh kuarantin. - Foto IG Shima Anuar

Shima bebas COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Highland Tower dan Jangan Pandang Belakang Boleh, Shima Anuar akhirnya bebas jangkitan pandemik COVID-19 selepas seminggu menjalani kuarantin di rumah.

Shima berkata, dia disahkan negatif selepas menjalani ujian calitan kedua, Jumaat lalu.

"Saya ada terbaca apabila paras ambang atau 'Cycle Threshold' (CT Value) tidak tinggi bermakna virus COVID-19 tidak sampai tahap membahayakan selepas seminggu menjalani kuarantin. Jadi, saya memutuskan untuk membuat ujian calitan kedua.

"Alhamdulillah, berkat doa semua, keputusan ujian adalah negatif. Kepada sesiapa yang disahkan positif atau baru disahkan positif, banyakkan bersabar, tenang dan insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja," katanya kepada BH Online.

Selama seminggu mengasingkan diri dalam bilik, pelakon berusia 30 tahun itu berkata, perkara paling dirinduinya untuk bertemu dengan dua permata hatinya, Marian Sophia, 2, dan Mikhael Imaan, 1.

"Sepanjang tempoh kuarantin, saya langsung tidak bertemu suami dan anak-anak. Saya hanya berkurung dalam bilik. Kalau nak makan ataupun perlukan barang, pembantu rumah akan letak di depan pintu bilik.

"Ada kala bila terdengar suara anak saya menangis, saya rasa macam nak keluar bilik untuk lihat keadaan mereka. Saya nak peluk anak-anak kerana kami belum pernah berpisah.

"Apabila saya disahkan negatif, saya bersyukur dan lega kerana dapat bertemu mereka. Dapatlah hilangkan rasa rindu ini," ujarnya dalam nada teruja.

Shima Anuar bersama suami, Mohd Solih Toha dan dua cahaya matanya, Marian Sophia dan Mikhael Imaan. - Foto IG Shima Anuar
Shima Anuar bersama suami, Mohd Solih Toha dan dua cahaya matanya, Marian Sophia dan Mikhael Imaan. - Foto IG Shima Anuar

Seperti yang dinyatakan dalam video dimuat dalam Instagram (IG), Shima berkata, dia mengamalkan pemakanan sihat dan mengambil vitamin C sebagai makanan tambahan.

"Saya banyak minum air panas atau suam dicampur lemon serta amalkan pengambilan vitamin C untuk menguatkan sistem imunisasi tubuh.

"Selain itu, saya elak makanan berminyak. Saya mahu cepat sembuh dan Alhamdulillah, Tuhan makbulkan doa saya," ujarnya.

Terdahulu, Shima turut memuat naik dalam entri IG memaklumkan suaminya, Mohd Solih Toha dan dua cahaya mata, Marian dan Mikhael bebas COVID-19.

Berita Harian X