Sabtu, 16 Januari 2021 | 3:00pm
Saharul Ridzwan tak mahu selamanya bergantung nasib pada dunia lakonan kerana jangka hayat seseorang hero tidak kekal lama.
Saharul Ridzwan tak mahu selamanya bergantung nasib pada dunia lakonan kerana jangka hayat seseorang hero tidak kekal lama.

'Jangka hayat hero tak kekal lama'

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 sememangnya memberi kesan kepada seluruh dunia. Tidak hanya dari segi ekonomi, mungkin juga ketahanan mental. Ia diakui pelakon popular, Saharul Ridzwan, 31, yang memerlukan perancangan kedua bagi menampung kehidupan bersama keluarga.

Biarpun masih menjadi 'hero' pilihan apabila boleh dikatakan setiap drama lakonannya 'trending' dan menjadi bualan hangat, namun Saharul menyimpan impian bergelar pengarah dan penerbit. Sungguhpun begitu, ia agak sukar dilaksanakan dalam situasi pandemik COVID-19 ini.

Ekoran itu, pelakon yang melonjak nama menerusi drama Jangan Benci Cintaku, Korban Kasih dan Cinta Sekali Lagi itu terpaksa mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan.

Saharul berkata, 2021 adalah tahun untuknya bergerak aktif dalam bidang perniagaan selepas melihat beberapa rakan seperjuangan dalam dunia seni berjaya sebagai usahawan.

"Tawaran lakonan masih ada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac, tahun lalu. Namun, saya terfikir, andai kata saya ditimpa musibah atau kehilangan aset yang diperlukan sebagai seorang artis, apa perancangan saya?

"Saya memiliki isteri dan dua cahaya mata. Mungkin akan datang menambah ahli keluarga. Saya mungkin tak fikir apa akan terjadi dalam tempoh satu atau dua tahun, tetapi bagaimana 10 tahun akan datang? Apabila ada anak, perbelanjaan makin lama makin bertambah.

"Itu sebabnya ramai yang mengatakan selepas usia 31 tahun, kita akan bekerja untuk anak-anak kita. Jadi, berapa yang boleh simpan sebagai seorang artis? Mungkin sedikit kesenangan diberikan, tetapi ia bukanlah jaminan untuk masa depan saya dan keluarga," katanya kepada BH Online.

Saharul Ridzwan bersama isteri, Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir dan dua cahaya matanya. - Foto IG Saharul Ridzwan
Saharul Ridzwan bersama isteri, Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir dan dua cahaya matanya. - Foto IG Saharul Ridzwan

Pelakon yang diangkat sebagai Aktor Hero Pilihan, Drama Festival Kuala Lumpur 2016 menerusi drama Kau Aku Kita itu berkata, dia terfikir untuk mengusahakan perniagaan apabila bertemu dengan Shuib Sepahtu, Achey dan Sharnaaz Ahmad yang memiliki empayar perniagaan sendiri.

"Saya nampak ramai artis sudah mula menceburi bidang perniagaan. Jadi, 2021 adalah permulaan yang baik untuk saya serius dalam bidang ini. Insya-Allah, saya akan melancarkan produk baharu bersama isteri, bulan depan," katanya.

Suami kepada Qaabila Deena Emir Mohammaed Akif Emir itu bersyukur, isterinya menunjukkan minat untuk meluaskan langkah dalam dunia perniagaan, memandangkan mempunyai niat mahu untuk membantu keluarga.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata, dia tak mahu selamanya bergantung nasib pada dunia lakonan kerana ramai sedia tahu 'jangka hayat' seseorang pelakon tidak kekal lama.

"Saya percaya apabila usia masuk 36 atau 37 tahun, syarikat produksi pun tak mahu panggil saya menjayakan watak hero. Mungkin saya akan dapat watak lebih berusia. Kita tidak boleh disamakan dengan artis luar. Mereka berlakon satu filem boleh bertahan bertahun-tahun lamanya, tetapi artis Malaysia lain.

"Ambil contoh seperti pelakon senior, Datuk Rosyam Nor, beliau tidak hanya berlakon, tetapi mempunyai syarikat produksi sendiri. Di sebalik itu, beliau juga mempunyai banyak bisnes lain.

"Jadi, saya rasa sudah cukuplah 31 tahun berseronok, sekarang sudah tiba masa saya mencari duit dan membuat tabungan," katanya.

Bagaimanapun, bekas penuntut Kolej TAFE Seremban dalam jurusan Penyelenggaraan Pesawat itu berkata, pendapatannya sebagai pelakon tidak terjejas sepanjang pandemik COVID-19, melainkan simpanan mula menyusut.

"Saya bertahan dengan menggunakan duit simpanan dan iklan komersial ketika pandemik COVID-19. Apabila melihat pendapatan saya pada 2020, dua kali ganda lagi banyak daripada tahun sebelumnya.

"Pelik juga bagaimana pendapatan meningkat walaupun ketika pandemik COVID-19. Saya pun tak tahu dari mana rezeki datang. Mungkin rezeki anak dan kesenangan yang Allah berikan selepas saya menyelesaikan semua hutang," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk makanan, Palut's Superhero di Puncak Alam, di sini, baru-baru ini.

Saharul Ridzwan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Palut’s Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar ketika majlis majlis pelancaran produk makanan, Palut’s Superhero di Puncak Alam, baru-baru ini. - Foto IG Saharul Ridzwan
Saharul Ridzwan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Palut’s Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar ketika majlis majlis pelancaran produk makanan, Palut’s Superhero di Puncak Alam, baru-baru ini. - Foto IG Saharul Ridzwan

Pada majlis itu, Saharul turut dilantik sebagai duta bagi produk Banana Salai Crispy bersama Achey dan Zoey Rahman.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Saharul berkata, niatnya untuk belajar lebih mendalam mengenai ilmu perniagaan menjadi faktor utama menerima tawaran Ketua Pegawai Eksekutif, Palut's Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar.

"Antara faktor kenapa saya menyertai Palut's Superhero kerana melihat mereka melonjak naik ketika fasa PKP. Melihat kejayaan anak Melayu, ia turut menjadi inspirasi.

"Jadi, saya menyertai mereka untuk mencari ilmu. Mungkin tak berguna sekarang, mana tahu pada akan datang. Ilmu ini boleh digunakan untuk perniagaan saya sendiri.

"Saya mahu empayar membina perniagaan untuk keluarga. Apabila saya tiada, isteri dan anak-anak saya boleh terus mengusahakannya.

"Mengambil kata Shuib, cuba sahaja apa jenis perniagaan. Seperti Shuib, dia juga banyak mencuba. Sampai satu tahap, kita akan tahu ia menjadi atau tidak. Kalau tak menjadi, anggap sebagai satu pengajaran. Jika menjadi pula, ia akan bertukar kepada kekayaan," katanya.

Berita Harian X