Rabu, 13 Januari 2021 | 3:46pm
Shima Anuar merindui anak-anaknya, Marian Sophia dan Mikhael Imaan apabila menjalani tempoh kuarantin dalam bilik tanpa bertemu sesiapa. - Foto IG Shima Anuar
Shima Anuar merindui anak-anaknya, Marian Sophia dan Mikhael Imaan apabila menjalani tempoh kuarantin dalam bilik tanpa bertemu sesiapa. - Foto IG Shima Anuar

Anak Shima negatif COVID-19

KUALA LUMPUR: Dua hari menanti penuh debaran akhirnya pelakon, Shima Anuar, 30, lega apabila keputusan ujian calitan anak-anaknya disahkan negatif, pagi ini.

Shima berkata dia menerima perkhabaran gembira menerusi suaminya, Mohd Solih Toha yang memaklumkan keputusan ujian calitan Marian Sophia, 2, dan Mikhael Imaan, 1, bebas COVID-19.

"Saya lega apabila Marian dan Mikhael disahkan negatif. Syukur sangat-sangat. Dua hari saya menanti keputusan ini dengan debaran, kini hilang kerisauan.

"Alhamdulillah, suami dan anak-anak negatif COVID-19, malah kontak rapat seperti orang gaji dan pemandu juga sama. Pelik juga kenapa saya seorang sahaja yang mendapat jangkitan COVID-19.

"Mungkin antibodi kurang kuat seperti mereka atau saya mendapat jangkitan ini dari luar ketika tak bersama mereka. Virus ini mudah merebak dan boleh dijangkiti di mana-mana sahaja," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Shima mengadu sesak nafas dan sakit kepala sejak Jumaat lalu. Selepas membuat ujian calitan pada Sabtu lalu, pelakon filem Highland Tower dan Jangan Pandang Belakang Boleh itu disahkan positif COVID-19.

Shima Anuar bersyukur suami, Mohd Solih Toha dan dua cahaya mata, Marian Sophia dan Mikhael Imaan disahkan bebas COVID-19. - Foto IG Shima Anuar
Shima Anuar bersyukur suami, Mohd Solih Toha dan dua cahaya mata, Marian Sophia dan Mikhael Imaan disahkan bebas COVID-19. - Foto IG Shima Anuar

Berkongsi mengenai kesihatannya, Shima berkata, dia dalam keadaan baik.

"Saya baik-baik sahaja, cuma demam, tetapi suhu badan tidak terlalu tinggi, tak mencecah 38 darjah celcius pun.

Bagaimanapun, saya tetap makan ubat, vitamin dan banyak minum air kosong untuk cepat sembuh. Saya masih menjalani tempoh kuarantin di rumah.

"Saya belum menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan lagi. Mungkin mereka sibuk dengan kes yang terlalu tinggi sekarang ini.

"Jadi, saya mengambil inisiatif sendiri untuk kuarantin diri dalam bilik dan tidak keluar berjumpa sesiapapun. Saya hanya bercakap dan lihat anak-anak menerusi panggilan video," katanya.

Shima berkata, dia berharap dirinya cepat sembuh agar dapat kembali bersama anak-anaknya.

Katanya, dia sepatutnya kembali ke lokasi penggambaran bagi filem Albab Ding Ding, tetapi perlu menjalankan ujian calitan sekali lagi selepas 10 hari.

"Kita tengoklah keputusan 10 hari lagi. Harapnya disahkan bebas COVID-19. Lagipun sekarang penggambaran juga tidak boleh dilakukan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Berita Harian X