Rabu, 13 Januari 2021 | 1:00pm
Achey banyak berkongsi rezeki yang diperoleh sebagai anak seni dengan membantu ahli keluarga yang terjejas dengan pandemik COVID-19.
Achey banyak berkongsi rezeki yang diperoleh sebagai anak seni dengan membantu ahli keluarga yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

Achey bergelar jutawan?

SHAH ALAM: Kalau ikutkan, pelawak, Achey sudah bergelar jutawan jika dihitung pendapatannya sejak bergelar anak seni pada 2013.

Bagaimanapun, anggota kumpulan Bocey itu berkongsi, pendapatannya semakin susut, sejak akhir-akhir ini. Apatah lagi, Achey menjadi 'tulang belakang' membantu keluarga.

Melihat tawaran tidak putus-putus, selain menjadi beberapa duta produk, Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah berkata, dia tidak menidakkan usikan ramai yang mengatakannya sudah bergelar jutawan.

"Saya akui mungkin sudah bertaraf jutawan jika dicampur hasil pendapatan sejak tujuh lalu. Namun, sayangnya, pendapatan semakin susut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

"Bukan itu sahaja, pendapatan susut mungkin disebabkan keluarga saya besar, jadi banyak membantu ahli keluarga yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini. Di situlah, saya banyak menghulurkan bantuan terutama ibu bapa dan mentua.

"Saya mengutamakan orang tua dahulu. Jika adik beradik memerlukan, saya akan bantu juga. Tidaklah memberi apa sahaja diperlukan, tetapi apa yang mereka kurang, saya boleh membantu.

"Allah kurniakan saya rezeki lebih, jadi tak salah untuk membantu ahli keluarga yang susah. Sebelum bantu orang, kita kena lihat keperluan keluarga dahulu," katanya kepada BH Online.

Achey, Saharul Ridzwan dan Zoey Rahman dilantik sebagai duta Palut’s Superhero bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Palut’s Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar (kiri).
Achey, Saharul Ridzwan dan Zoey Rahman dilantik sebagai duta Palut’s Superhero bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Palut’s Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar (kiri).

Achey ditemui pada majlis pelancaran produk makanan, Palut's Superhero di Puncak Alam, di sini, baru-baru ini. Pada majlis itu, Achey turut dilantik sebagai duta produk Nangka Sangrai Crispy bersama Saharul Ridzwan dan Zoey Rahman. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Palut's Food Sdn Bhd, Ridzuan Ansar.

Selain itu, Achey berkata, dia turut terpanggil mengusahakan perniagaan apabila melihat ramai kawan-kawan berjaya sebagai usahawan.

Katanya, dia dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya sudah lama berhasrat mahu membuka kedai runcit.

"Perancangan saya terlalu banyak, tetapi saya kena banyak belajar dan memperoleh ilmu sebelum mengusahakan apa-apa perniagaan. Insya-Allah, saya akan buka perniagaan sendiri pada 2021.

"Sebelum ini, saya memang berhasrat mahu membuka kedai aksesori motosikal, tetapi agak sukar pada musim pandemik COVID-19 ini. Jadi, saya ada berbincang dengan isteri untuk menjalankan perniagaan yang setiap masa memang diperlukan, iaitu kedai runcit.

"Seperti penyanyi, Lan Solo mempunyai barang khusus dijual, tetapi saya mahu membuka kedai runcit yang biasa sahaja. Saya sudah pun melihat beberapa kawasan yang sesuai. Doakanlah urusan saya dipermudahkan," katanya.

Achey bersama isterinya, Nor Hasanah Yahaya dan Nur Tiara Zinnirah yang menjadi tulang belakang untuknya bekerja keras mencari rezeki. - Foto IG Achey
Achey bersama isterinya, Nor Hasanah Yahaya dan Nur Tiara Zinnirah yang menjadi tulang belakang untuknya bekerja keras mencari rezeki. - Foto IG Achey

Mengulas adakah keinginannya mengusahakan perniagaan sendiri disebabkan bergelar duta beberapa produk, Achey berkata, dia bersyukur rezekinya luas disebabkan bergelar empat duta produk.

Achey berkata, empunya produk yang berminat melantiknya mungkin disebabkan kelebihannya dalam mempromosikan sesuatu produk.

"Jika dilihat, saya rupa paras pun tiada. Kita tahu industri hiburan ini memerlukan pakej. Jadi, saya cari mana pakej saya. Mungkin kelebihan saya dalam dunia media sosial saya dan cara mempromosikan sesuatu barang.

"Mungkin disebabkan itulah ada pihak yang nampak kelebihan saya. Sebelum masuk industri hiburan, saya ada juga ilmu berniaga dan tahu bagaimana nak mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan.

"Inilah kelebihan saya, jadi gunakan kelebihan ini untuk kelangsungan hidup," katanya.

Berita Harian X