Isnin, 11 Januari 2021 | 9:47pm
Entri dimuat naik Shima di Instagram memaklumkan dirinya positif COVID-19. Foto IG Shima Anuar
Entri dimuat naik Shima di Instagram memaklumkan dirinya positif COVID-19. Foto IG Shima Anuar

Shima Anuar positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelakon Shima Anuar yang mengadu sesak nafas dan sakit kepala sejak Jumaat lalu, disahkan positif COVID-19.

Shima berkata, keputusan ujian calitan yang dilakukan kelmarin, mengesahkan dia dijangkiti virus berkenaan.

"Saya tiada kontak rapat dengan sesiapa yang disahkan positif COVID-19. Cuma, sejak Jumaat lalu, saya mula sesak nafas dan sakit kepala.

"Saya beritahu suami dan dia menyangka mungkin perut saya kosong dan masuk angin.

Shima risau memikirkan anak-anak yang sudah dihantar menjalani ujian calitan, pagi tadi. Foto IG Shima Anuar
Shima risau memikirkan anak-anak yang sudah dihantar menjalani ujian calitan, pagi tadi. Foto IG Shima Anuar

"Namun, saya buat keputusan melakukan ujian calitan sebagai sebagai langkah berjaga-jaga menyedari virus ini ada di mana-mana," katanya.

Shima yang sepatutnya kembali ke lokasi penggambaran bagi projek fikem Albab Ding Ding mengaku terkejut dengan keputusan diterima.

"Suami juga melakukan ujian calitan selepas saya mendapat keputusan. Namun, suami saya disahkan bebas daripada virus berkenaan, pagi tadi.

"Saya jadi tidak keruan dan hilang punca sekejap. Saya asyik memikirkan anak yang turut menjalani ujian calitan pagi tadi.

"Saya berdoa anak-anak tidak dijangkiti. Saya tidak boleh bayangkan keadaan mereka jika sebaliknya," katanya.

Shima berharap individu yang mempunyai kontak rapat dengannya sejak minggu lalu agar dapat melakukan ujian saringan COVID-19.

"Saya sedang menunggu perkembangan daripada Kementerian Kesihatan. Sejak semalam, saya mengasingkan diri di bilik dan tidak keluar.

"Saya tidak mahu memberi risiko kepada orang lain," katanya.

Berita Harian X