Rabu, 6 Januari 2021 | 3:00pm
Saharul Ridzwan berang apabila ada netizen tergamak menghina dan mempersoalkan tindakannya berniaga di gerai, seolah-olah terdesak serta kurang tawaran lakonan. - Foto Saharul Ridzwan
Saharul Ridzwan berang apabila ada netizen tergamak menghina dan mempersoalkan tindakannya berniaga di gerai, seolah-olah terdesak serta kurang tawaran lakonan. - Foto Saharul Ridzwan

Kenapa malu nak jual pisang? - Saharul

KUALA LUMPUR: Melihat kesungguhan pelawak, Achey berniaga nangka di tengah panas demi mencari sesuap rezeki biarpun memiliki dikenali dan nama besar dalam industri seni menerbitkan kesedaran dalam diri pelakon Saharul Ridzwan.

Saharul, 32, berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya membuka gerai menjual pisang, selama ini. Namun, fikirannya berubah apabila singgah di gerai milik Achey yang terletak di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

"Awalnya, niat singgah ke gerai milik Achey sekadar membeli nangka. Namun, saya kagum melihat Achey sanggup berdiri di tengah panas demi mencari rezeki, sedangkan dia dikenali ramai, malah jumlah pengikutnya di Instagram (IG) juga lebih ramai berbanding saya.

"Namun, Achey sanggup mengenepikan populariti semata-mata untuk mencari rezeki buat keluarga. Jadi, dari situ, timbul kesedaran sikapnya pelawak popular ini wajar dicontohi. Ketika berbual, Achey memberi galakkan kepada saya cuba menjual pisang.

"Jika Achey boleh, kenapa tidak saya? Biarpun bergelar selebriti, tiada apa yang hendak dimalukan jika menjual pisang. Saya tak terfikir langsung soal jatuh 'standard' kerana rezeki untuk keluarga lebih penting berbanding memikirkan tanggapan orang," katanya kepada BH Online.

Bagi pelakon drama Korban Kasih dan Cinta Sekali Lagi itu, bidang perniagaan bukan asing buatnya memandangkan pernah membantu isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir berniaga tudung di bazar Ramadan.

Kesungguhan pelawak, Achey berniaga nangka di gerai dan mengetepikan populariti menimbulkan kesedaran kepada Saharul Ridzwan membuka perniagaan menjual pisang. - Foto Achey
Kesungguhan pelawak, Achey berniaga nangka di gerai dan mengetepikan populariti menimbulkan kesedaran kepada Saharul Ridzwan membuka perniagaan menjual pisang. - Foto Achey

Walaupun rakan seperjuangan dan peminat memberikan semangat terhadap perniagaan yang diceburinya, namun ada yang tergamak menghina dan mempersoalkan tidakkah malu berniaga di gerai?

Individu yang menghantar mesej langsung ke akaun IG juga bertanya adakah dia terlalu terdesak berniaga kerana kekurangan tawaran lakonan?

Geram dengan sikap kurang ajar individu tidak dikenali itu, Saharul berkata, dia bertindak menangkap layar dan berkongsi mesej langsung itu dan memuat naik dalam entri IG miliknya.

"Sebagai manusia biasa, tipulah jika saya tidak terasa dengan tindakan individu berkenaan. Salahkah golongan artis seperti kami berniaga? Bukankah sembilan daripada sepuluh punca rezeki datangnya daripada perniagaan?

"Niat saya muat naik tangkap layar mesej langsung yang dihantar individu berkenaan sekadar untuk memberitahu yang bukan semua orang mampu hidup senang sepertinya, lebih lagi, dalam situasi pandemik COVID-19. Ramai yang terkesan dan berjuang untuk kelangsungan hidup.

"Kami juga manusia biasa, lebih lagi, apabila sudah berumah tangga dan memiliki cahaya mata. Kami kena gigih mencari rezeki untuk keluarga. Tiada apa yang hendak dimalukan, sebaliknya lebih seronok kerana duit tunai masuk setiap hari. Mungkin ada yang melihat berniaga di gerai tidak glamor, tetapi sebenarnya ramai peniaga tepi jalan yang banyak duit daripada artis atau golongan profesional," kata Saharul.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia bersyukur, gara-gara cercaan individu itu yang menjadi tular, pisangnya habis dijual sebanyak 200 kilogram dalam tempoh 40 minit.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah membuka rezeki saya sekeluarga daripada berniaga pisang. Kini, saya mengembangkan pula perniagaan dari pisang ke pisang salai," katanya.

Berita Harian X