Sabtu, 26 Disember 2020 | 11:00am
Saharul Ridzwan sudah bersedia segala kemungkinan yang berlaku terhadap kerjanya kerana menyedari kehidupan seorang artis ibarat putaran roda. - Foto IG Saharul Ridzwan
Saharul Ridzwan sudah bersedia segala kemungkinan yang berlaku terhadap kerjanya kerana menyedari kehidupan seorang artis ibarat putaran roda. - Foto IG Saharul Ridzwan

'Sedia payung sebelum hujan'

KUALA LUMPUR: Lakonannya menerusi drama Cinta Sekali Lagi yang baru sahaja melabuhkan tirainya sekali lagi melonjakkan nama aktor bertubuh sasa, Saharul Ridzwan, 31.

Watak Fahad yang dibawakan di samping Nelydia Senrose dan Hanna Delisha berjaya mencetuskan fenomena dan muncul sohor hingga menjadi sebutan ramai.

Namun, populariti Saharul yang lahir daripada pencarian Hero Remaja 2011/2012 seakan sedikit tenggelam sejak mendirikan rumah tangga dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Luth Ali, 3, dan Fateema Azzahra, 6 bulan.

Saharul mula menjadi perhatian peminat wanita selepas muncul dalam drama Hati Perempuan pada 2015. Tidak dinafikan, populariti anak muda kelahiran Pahang itu berada di kemuncak pada kala itu.

Biarpun namanya kini jarang meniti di bibir peminat, Saharul berkata, dia tidak pernah berasa gentar dengan cabaran berkenaan.

Sebaliknya, katanya, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku terhadap kerjayanya kerana menyedari kehidupan seorang artis ibarat putaran roda, saat melangkah masuk ke dalam industri seni hampir sedekad yang lalu.

"Sejujurnya, saya tak pernah risau soal populariti. Saya merasakan rezeki melimpah ruah sejak mendirikan rumah tangga dan mempunyai cahaya mata. Mungkin penonton jarang melihat saya muncul di kaca TV3, jadi mereka berasakan yang nama saya sudah tenggelam.

"Hakikatnya, hingga kini, tawaran lakonan belum pernah putus. Saya tak pernah berasa tercabar dengan kehadiran bakat baru yang lebih muda. Saya pernah melalui fasa ini dan tidak merasakan sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mereka," katanya kepada BH Online.

Saharul Ridzwan bersama isteri, Qaabila Deena Emir dan dua cahaya matanya, Muhammad Luth Ali dan Fateema Azzahra. - Foto IG Saharul Ridzwan
Saharul Ridzwan bersama isteri, Qaabila Deena Emir dan dua cahaya matanya, Muhammad Luth Ali dan Fateema Azzahra. - Foto IG Saharul Ridzwan

Saharul berkata, dia tidak memiliki sebarang formula untuk terus kekal relevan, sebaliknya sentiasa mengingati pesanan pengarah, Mohd Fazli Yahya atau lebih dikenali sebagai Pali agar menjaga mutu lakonan dan disiplin ketika di lokasi penggambaran.

"Saya tiada sebarang strategi, cuma dua perkara yang saya belajar daripada pengarah. Kena jaga mutu lakonan dan disiplin. Jika dapat mengekalkan kedua-duanya, insya-Allah penerbit akan nampak dan rezeki akan datang dengan sendirinya. Selain itu, Pali selalu berpesan supaya memilih skrip yang ditawarkan.

"Saya faham stesen televisyen (TV) mengejar 'rating, jadi apabila sesekali keluar, saya perlu memberikan yang terbaik. Saya amat bersyukur drama lakonan menjadi trending setiap kali muncul di kaca TV3. Sebenarnya, kejayaan satu watak bukan pada individu, tetapi bagaimana berjaya mencorakkan watak dan karakter yang diberikan," katanya.

Katanya, menyedari pasang surut dunia seni menyebabkannya sentiasa menyediakan payung sebelum hujan. Dirinya sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sebagai ketua keluarga.

Tanpa berselindung, Saharul berkata, persiapan masa depan keluarga terutama berkaitan soal kewangan sudah dirancang dari awal, seandai terjadinya sebarang kemungkinan.

"Alhamdulillah, saya sudah bersedia untuk masa depan anak-anak. Dunia glamor ini sebenarnya terlalu subjektif. Dahulu, kita hanya ada satu platform sahaja iaitu TV. Sekarang, lebih banyak medium yang membolehkan kita untuk bertahan seperti YouTube, Netflix, iflix, Nur Flix dan banyak lagi.

"Jadi, insya-Allah persiapan untuk masa depan kami sekeluarga berjalan dengan lancar. Setakat ini, tiada apa yang menjadi kerisauan buat saya," katanya yang kini mengusahakan perniagaan pisang berangan.

Berita Harian X