Jumaat, 25 Disember 2020 | 3:00pm
Adira Suhaimi sekali lagi diberi kepercayaan mendendangkan lagu Kesempatan Bagimu yang juga lagu runut bunyi bagi drama bersiri, Tercipta Satu Ikatan siaran Astro. - Foto Nova Music
Adira Suhaimi sekali lagi diberi kepercayaan mendendangkan lagu Kesempatan Bagimu yang juga lagu runut bunyi bagi drama bersiri, Tercipta Satu Ikatan siaran Astro. - Foto Nova Music

Adira lagi?

KUALA LUMPUR: Diberi jolokan Ratu Soundtrack, Adira Suhaimi terus diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama tempatan.

Jika dihitung, sudah lebih 10 karya dendangan penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu dijadikan lagu runut bunyi yang menghiasi drama popular, sejak sedekad lalu.

Terbaharu, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi sekali lagi diberi kepercayaan mendendangkan lagu Kesempatan Bagimu yang juga lagu runut bunyi bagi drama bersiri, Tercipta Satu Ikatan yang bakal bersiaran di slot Mega Drama Astro bermula 29 Disember ini.

Lagu Kesempatan Bagimu terbitan Nova Music ciptaan komposer, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, manakala lirik ditulis Ikhwan Fatanna bersama Arisz Abd Rahman. Ia akan dilancarkan menerusi di saluran YouTube Nova Music, jam 9 malam, hari ini.

"Sudah menjadi rezeki saya terus diberikan kepercayaan mendendangkan lagu runut bunyi. Saya bersyukur boleh dikatakan kebanyakan single melatari drama televisyen (TV).

"Bagaimanapun, ada masanya, terbit juga tanda tanya dalam hati, orang tak jemu ke, lagi-lagi Adira?

"Pada saat bakat baharu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, rezeki menyanyi lagu runut bunyi masih dalam genggaman. Saya anggap ini adalah penghormatan buat saya," katanya kepada BH Online.

Adira berkata, dia sudah menyampaikan dua lagu runut bunyi, tahun ini. Sebelum lagu Kesempatan Bagimu, dia mendendangkan lagu Maaf untuk drama Maaf Tak Indah yang menghiasi slot Samarinda TV3, Februari lalu.

"Lagu Kesempatan Bagimu dirakamkan Oktober lalu. Ia adalah kali keempat saya bekerjasama dengan Ikhwan.

"Sebelum lagu Kesempatan Bagimu, saya terlebih dahulu mencipta keserasian menerusi karya Ikhwan sejak lagu Pujaan Hati, Takdir Tercipta dan Maaf. Secara peribadi, saya senang bekerjasama dengannya.

"Lagu baharu ini pun dirakam tanpa ambil masa yang panjang. Selain sudah faham rentak kerja, saya juga sudah mendapat lagu Kesempatan Bagimu lebih awal untuk berlatih.

"Secara kebetulan, lagu Kesempatan Bagimu berentak balada seperti lagu sebelumnya. Tidak dinafikan, jiwa saya lebih ke arah menyanyikan lagu berentak balada dan melankonlik. Dalam ketegasan, ada kelembutan yang masih terserlah," selorohnya.

Saat bakat baharu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, rezeki menyanyi lagu runut bunyi masih dalam genggaman Adira Suhaimi. - Foto Nova Music
Saat bakat baharu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, rezeki menyanyi lagu runut bunyi masih dalam genggaman Adira Suhaimi. - Foto Nova Music

Lagu Kesempatan Bagimu adalah single solo ketiga Adira bekerjasama bersama Nova Music selepas lagu hit Pujaan Hati dan Maaf.

Naib Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu berkata, dia tidak menganggap gelaran Ratu Soundtrack sebagai perkara membebankan.

"Saya cukup bersyukur ramai yang suka lagu nyanyian melatari drama di kaca TV. Lagu runut bunyi menyuntik dan menjentik emosi penonton hingga saya digelar Ratu Soundtrack. Saya menghargainya.

"Apabila difikir daripada skop yang lebih luas, ini adalah peluang keemasan, sekali gus rezeki untuk kekal relevan di persada seni suara.

"Tak semua penyanyi memperoleh kesempatan seperti ini. Apabila lagu melatari drama TV dan pelantar digital, ia

akan terus dimainkan dan secara tak langsung cepat diingati. Jadi, selain stesen radio dan laman maya, TV juga menjadi ruang mempromosikan lagu," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia sudah terbiasa jatuh cinta dengan lagu nyanyian sendiri, sejak dahulu lagi.

"Ia juga langkah pertama sebelum saya mengambil mood dan menyerap emosi lagu.

"Saya akui, peluang bekerjasama dengan komposer sedia ada dan baru menjadi ruang terbaik untuk saya mencabar diri dan terus belajar menyanyi.

"Lebih sedekad bergelar penyanyi bukan alasan untuk saya terus memeluk tubuh dan selesa dengan apa yang dikurniakan. Saya terbuka dengan apa sahaja yang boleh memberi pembelajaran baru dalam diri," katanya.

Berita Harian X