Rabu, 9 Disember 2020 | 8:30am
Khairul Anwar menyifatkan sudah sampai masanya animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan WAU Animation mendapat lebih banyak perhatian antarabangsa. Foto NSTP
Khairul Anwar menyifatkan sudah sampai masanya animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan WAU Animation mendapat lebih banyak perhatian antarabangsa. Foto NSTP

Ejen Ali tembusi China

KUALA LUMPUR: Satu lagi kejayaan dicapai siri animasi Ejen Ali apabila Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation mengumumkan kerjasama strategik dengan platform penstriman video dalam talian terbesar China, Tencent Video.

Siri animasi Ejen Ali kini bersiaran di Tencent Video mulai 1 Disember lalu dan dialih bahasa kepada Mandarin bagi menarik minat penonton di China terutama kanak-kanak. Foto Ihsan PWS
Siri animasi Ejen Ali kini bersiaran di Tencent Video mulai 1 Disember lalu dan dialih bahasa kepada Mandarin bagi menarik minat penonton di China terutama kanak-kanak. Foto Ihsan PWS

Atas inisiatif itu, siri Ejen Ali kini bersiaran di Tencent Video mulai 1 Disember lalu dan dialih bahasa kepada Mandarin bagi menarik minat penonton di negara itu terutama kanak-kanak.

Kerjasama PWS, Wau Animation dan Tencent Video terjalin melalui perjanjian perkongsian kandungan bersama CAWRO, iaitu sebuah syarikat kandungan dan jenama kanak-kanak terkemuka dan diiktiraf di China.

Syarikat itu bertindak sebagai pengedar rasmi program antarabangsa dengan persetujuan membawa masuk siri animasi Ejen Ali untuk tayangan pasaran di China.

Ini adalah langkah pertama Ejen Ali menembusi pasaran hiburan di China dan seperti diketahui, permintaan untuk kandungan video dalam talian di platform OTT (over-the-top) di China ketika ini berkembang sangat pesat.

Ia menjadi platform pilihan utama bagi pengiklan dan aliran ini dijangka akan berkembang dengan stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini terbukti apabila siri Ejen Ali muncul sebagai salah satu daripada tiga program luar negara yang meraih kedudukan rating penonton tertinggi di platform ini dalam tempoh empat hari tayangan di Tencent Video.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata sambutan positif terhadap Ejen Ali The Movie, tahun lalu, mendorong syarikat mengorak kerjasama dengan CAWRO bagi mengembangkan jenama ke peringkat antarabangsa.

"Sudah sampai masa untuk animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan rakan kreatif kami WAU Animation untuk bergerak lebih jauh, mendapat lebih banyak peluang dan perhatian antarabangsa.

"Ini selaras dengan komitmen kami untuk membawa hanya kandungan terbaik Malaysia ke peringkat dunia dan secara tidak langsung memperkenalkan perniagaan pelesenan dan jenama di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, berkata, pihaknya teruja siri animasi Ejen Ali menembusi pasaran China sekali gus mengembangkan sasaran penonton baharu di pasaran antarabangsa.

"Kami berharap siri Ejen Ali dapat diterima dengan baik oleh pengguna Tencent Video di China," katanya.

Usamah berkata, pihaknya mengimpikan membawa Ejen Ali The Movie ke layar filem di China.

"Namun, memandangkan keadaan sekarang ketika negara dan industri hiburan bergerak ke tahap pemulihan daripada pandemik COVID-19, harapan kami agar impian ini akan menjadi kenyataan, suatu hari nanti," katanya.

Sebelum ini, populariti siri animasi Ejen Ali meyakinkan produksi menghasilkan tiga permainan bagi alatan mudah alih yang yang meraih lebih dari tujuh juta muat turun melalui aplikasi Apple App Store dan Google Play Store.

Kejayaan siri animasi ini seterusnya direalisasikan melalui kutipan box-office filem Ejen Ali The Movie yang dilancarkan pada Disember 2019.

Filem ini meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM32.5 juta (AS$8 juta) di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Atas kejayaan itu, Ejen Ali The Movie muncul filem animasi terlaris di Malaysia.

Berita Harian X