Isnin, 7 Disember 2020 | 3:00pm
Syafiq Kyle antara pelakon yang membintangi Polis Evo 3. Foto IG Polis Evo 3 Official
Syafiq Kyle antara pelakon yang membintangi Polis Evo 3. Foto IG Polis Evo 3 Official

Abang Long Fadil 3, Polis Evo 3 kena 'peram'

KUALA LUMPUR: Bagai tiada pilihan, Skop Productions Sdn Bhd terpaksa 'peram' dua filem mega iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 berikutan pandemik COVID-19.

Belum pasti bila pawagam dibenarkan beroperasi semula, pemilik empayar Skop, Datuk Yusof Haslam enggan mengambil risiko termasuk menayangkan dua filem terbabit melalui platform digital yang menjadi aliran penerbit sekarang.

Yusof berkata, tayangan filem Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3 yang diterbitkan bersama Astro Shaw, terpaksa ditangguhkan kepada tarikh yang akan diputuskan kelak.

"Sampai sekarang, saya belum ada tarikh tayangan. Kalau perlu menunggu sehingga pandemik reda, maka, itulah keputusan yang dibuat iaitu menangguhkan tayangan.

"Saya tidak mahu ambil risiko. Mengikut sasaran, dua filem terbabit sudah masuk panggung wayang.

Membelanjakan RM12 juta untuk filem Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3, Yusof keberatan menayangkan karyanya melalui platform digital. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Membelanjakan RM12 juta untuk filem Polis Evo 3 dan Abang Long Fadil 3, Yusof keberatan menayangkan karyanya melalui platform digital. Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Namun, kita belum pasti bila pawagam akan kembali beroperasi. Dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pawagam, kita kehilangan antara 60 hingga 70 peratus penonton," katanya kepada BH Online.

Yusof berkata, andai pawagam dibuka dengan SOP sama, penerbit perlu memikirkan semua aspek terutama keadaan ekonomi dan kesannya terhadap penjualan tiket.

"Kedua-dua filem terbabit membabitkan kos RM12 juta, jadi alternatif untuk menjualnya ke platform digital juga perlu difikirkan masak-masak.

"Kalau hendak jual kepada platform lain kita kena letak harga tinggi. Jika kos filem sekitar RM1 juta atau RM2 juta mungkin senang hendak menjualnya kepada platform lain.

"Disebabkan kos tinggi, jadi hendak 'cover' (dapat pulangan) belum tentu andai kata mahu memilih tayangan melalui alternatif lain," katanya.

Yusof berdoa pandemik COVID-19 dapat pulih segera.

"Pada masa sama, saya harap salinan kedua-dua filem itu dijaga rapi.

"Kita tidak mahu terjadi perkara yang tidak diingini sepanjang kita 'peram' dua filem ini," katanya.

Berita Harian X