Isnin, 30 November 2020 | 8:30am
Mawi rindu melihat gandingan Saiful Apek dan Syanie Hisham dalam filem. - Foto Mawi
Mawi rindu melihat gandingan Saiful Apek dan Syanie Hisham dalam filem. - Foto Mawi

Mawi tak serik bikin filem

KUALA LUMPUR: Bukan mudah menjadi pembikin filem berjaya, namun, apa yang penting, berani mencuba. Keberanian mempertaruhkan modal berjuta-juta bagi menghasilkan filem menjadi prinsip diperjuangkan penyanyi yang kini bergelar pengarah dan penerbit, Mawi.

Biarpun karya pertama arahannya, Tiada Tajuk yang ditayangkan, tahun lalu sekadar membawa pulangan modal, namun Mawi optimis untuk terus memperjuangkan karya cetusan ilhamnya.

Terbaharu, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani tampil dengan idea baharu untuk menghasilkan filem kedua.

Mempertaruhkan genre komedi seram, Mawi bakal mengarahkan filem berjudul Hantu Kuat Ketawa yang bakal menjalani penggambaran pada Januari depan.

Istimewanya, karya terbaharu itu menyatukan semula dua pelawak popular, Saiful Apek dan Syanie Hisham.

"Sejujurnya, saya rindu mahu melihat gandingan dua pelawak senior, Saiful Apek dan Syanie. Dari dahulu, saya sering memerhatikan keserasian mereka. Saya percaya penonton sangat terhibur dengan gelagat mereka.

"Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, gelagat Saiful Apek dan Syanie cukup mencuit hati.

"Jadi, saya terlintas dalam hati mahu menyatukan mereka pada era masa kini. Lagipun, mereka masih aktif dan memiliki kelompok peminat tersendiri," katanya kepada BH Online.

Mawi menampilkan Syanie Hisham dalam filem kedua arahannya berjudul Hantu Kuat Ketawa. - Foto Mawi
Mawi menampilkan Syanie Hisham dalam filem kedua arahannya berjudul Hantu Kuat Ketawa. - Foto Mawi

Mawi berkata, dia berasakan tak salah untuk kembali menyerlahkan bakat otai supaya mereka tidak dipinggirkan dalam layar perak.

"Saya pegang pepatah, tiada orang lama, tiadalah orang baharu. Hakikatnya, perkara ini benar. Saya bangga menjadi insan yang berjaya memujuk mereka melakukan 'comeback' pada zaman sekarang.

"Filem Hantu Kuat Ketawa mempunyai empat teraju utama. Selain Saiful Apek dan Syanie, saya juga menampilkan Along Cham bersama pelakon wanita yang belum dapat didedahkan siapa gerangannya.

"Pendek kata, filem ini akan ada bintang lama dan baru. Selain mengarah, saya juga akan membintangi filem ini, tetapi hanya sebagai cameo," katanya yang bertindak sebagai penulis skrip untuk filem itu.

Mawi berkata, filem Hantu Kuat Ketawa mengisahkan mengenai empat 'scammer' yang dikehendaki polis.

"Tanpa diduga ketika mahu menyelamatkan diri hingga lari ke hutan, tempat persembunyian diganggu dengan misteri hantu yang kuat ketawa.

"Macam-macam pelbagai lucu terjadi. Saya pasti penonton pecah perut melihat gelagat mereka berempat," katanya.

Berita Harian X