X
Sabtu, 28 November 2020 | 3:00pm
Gambar kenangan Ummi Nazeera bersama arwah bapa, ibu dan adik beradiknya. - Foto IG Ummi Nazeera
Gambar kenangan Ummi Nazeera bersama arwah bapa, ibu dan adik beradiknya. - Foto IG Ummi Nazeera

Tiga jam detik terakhir

KUALA LUMPUR: Bapa pelakon, Ummi Nazeera, Zainul Abadin Mat Akhir, 69, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi pelbagai penyakit kronik di Pusat Perubatan Ampang Puteri, jam 12 pagi, Jumaat lalu.

Pemergian arwah disahkan oleh Ummi kepada BH Online. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak jam 10 pagi, semalam.

Pelakon drama Korban Kasih itu berkata, dia sempat melawat arwah bapanya tiga jam sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital.

"Saya dimaklumkan arwah perlu mendapatkan bantuan oksigen ketika saya baru sampai rumah. Beberapa minit kemudian, abang memberitahu arwah sudah tiada.

"Siapa sangka tiga jam menjadi detik pertemuan terakhir saya bersamanya. Walau apa yang terjadi, kenangan bersama arwah masih terpahat dalam ingatan. Arwah memanggil saya dengan nama Ira.

"Tuhan lebih menyayanginya. Saya menerima ketentuan ini dengan penuh keredaan. Semoga amalan papa selama hayatnya diterima Allah," katanya kepada BH Online.

Ummi Nazeera sempat melawat arwah bapanya tiga jam sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital. - Foto IG Ummi Nazeera
Ummi Nazeera sempat melawat arwah bapanya tiga jam sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital. - Foto IG Ummi Nazeera

Arwah bapanya meninggalkan seorang isteri dan enam cahaya mata.

"Mama berkahwin dengan arwah yang bergelar duda dan mempunyai tiga cahaya mata. Menerusi perkahwinannya dengan Mama, mereka dikurniakan saya dengan abang, Nazreem Musa. Menerusi perkahwinan selepas itu, arwah mempunyai seorang anak," katanya.

Ditanya mengenai hubungan renggang dengan arwah, Ummi atau nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin enggan mengulas panjang.

Bagi ibu kepada Ayra Aneesah itu, dia tidak mahu mengenang perkara yang lepas.

"Sebagai anak, saya sempat mohon ampun kepadanya ketika berpeluang melawat arwah.

"Jenazah arwah dimandikan dan di solat di masjid sekitar jam 8 pagi. Alhamdulillah, pengebumian berjalan lancar. Abang banyak membantu menyempurnakan urusan pengebumian arwah," katanya.

Berita Harian X