Sabtu, 28 November 2020 | 8:47am
Azzam Sham tidak mahu mempersiakan peluang kedua yang diperoleh selepas diangkat sebagai juara program Big Stage musim ketiga. - Foto IG Azzam Sham
Azzam Sham tidak mahu mempersiakan peluang kedua yang diperoleh selepas diangkat sebagai juara program Big Stage musim ketiga. - Foto IG Azzam Sham

Peluang kedua Azzam

KUALA LUMPUR: Seakan 'mati hidup semula', penyanyi dan pelakon, Azzam Sham, 23, tidak mahu mempersiakan peluang keemasan diperoleh. Apa yang digenggamnya hari ini, bukanlah jalan pintas.

Memulakan langkah sebagai penyanyi menerusi program Idola Kecil pada usia 12 tahun, Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzamuddin Lop Hisham sudah puas berusaha untuk membuktikan bakat dan kebolehannya. Namun, hanya dipandang sebelah mata.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah 360 darjah selepas menjuarai program Big Stage musim ketiga, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, saya banyak menerima tawaran menyanyi dan berlakon selepas muncul sebagai juara Big Stage musim ketiga. Dahulu, saya berlakon ketika kecil, tetapi kini kembali menerima tawaran.

"Diakui, bintang belum bergemerlapan biarpun banyak kali menghasilkan single dan kurang mendapat sambutan selama bertahun-tahun. Alhamdulillah, single terbaru berjudul Cinta Jangan Pergi ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya semakin mendapat sambutan dan kerap diputarkan di corong radio," katanya kepada BH Online.

Pernah terdetik mahu meninggalkan dunia seni gara-gara kecewa dengan kerjaya tidak menjadi, Azzam berkata, dia memulakan kerjaya seni sejak di bangku sekolah.

"Sebelum menyertai program Big Stage, pelbagai cara dilakukan dan mengeluarkan beberapa single, tetapi tak berjaya melonjakkan nama.

"Saya memang kecewa dan hampir meninggalkan dunia seni. Saya ambil keputusan menyambung pengajian dalam Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Selepas tamat pengajian diploma, saya berhasrat menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda. Saya pilih bergelar pendidik berikutan kecewa dengan kerjaya seni.

"Bagaimanapun, saya bernasib baik apabila ditawarkan menyertai program Big Stage, sekali gus seperti peluang kedua dalam hidup.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya berpuas hati dengan apa yang dikecapi selepas program Big Stage. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu selesa dan perlu berusaha untuk memastikan kedudukan teguh," katanya.

Anak kelahiran Sungai Besi, Kuala Lumpur itu berkata, dia dan syarikat rakaman, Rusa Music sudah berbincang mahu sentiasa tampil dengan karya terbaru.

"Saya tak mahu tangguh lama, sekurang-kurangnya ada lagu baharu dalam tempoh beberapa bulan. Saya juga mahu mencuba pelbagai peluang lain, tidak terhad kepada nyanyian.

"Saya tidak kisah jika ditawarkan watak pembantu kerana apa yang penting, peminat sentiasa nampak kehadiran saya di kaca televisyen," katanya.

Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie berkongsi kisah cinta bukan mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya bersikap jujur kepada peminat. - Foto IG Sheryl Shazwanie
Azzam Sham dan Sheryl Shazwanie berkongsi kisah cinta bukan mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya bersikap jujur kepada peminat. - Foto IG Sheryl Shazwanie

Mengulas keterbukaannya dengan kekasihnya, Sheryl Shazwanie yang mungkin membuatkan peminat jelik, Azzam berkata, tujuan berkongsi kisah cinta bukan mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya bersikap jujur kepada peminat.

"Kami tidak mahu berselindung dengan peminat, tetapi tidak sangka pula tindakan ini tidak digemari. Kami sudah terlanjur berkongsi mengenai hubungan, jadi ia tidak dapat ditarik kembali.

"Bagaimanapun, saya dan Sheryl akan lebih berhati-hati. Kami tidak mahu keterlaluan berkongsi kisah hubungan. Kami kena belajar daripada kesilapan," katanya.

Menyentuh single Cinta Jangan Pergi, Azzam berkata, dia bertuah dapat bekerjasama dengan Asfan dan Fedtri yang disifatkan mempunyai sentuhan karya yang baik.

"Single Cinta Jangan Pergi sangat besar buat saya. Bagaimanapun, saya bersyukur lagu ini mendapat maklum balas baik peminat. Alhamdulillah, lagu itu kerap diputarkan di corong radio, sekali gus membuktikan bakat saya yang dahulu dipandang sepi kini tidak sia-sia," katanya.

Berita Harian X