Sabtu, 21 November 2020 | 3:00pm
Syafiq Kyle dan Mimi Lana meraih trofi Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 menerusi filem Pusaka. - NSTP/Asyraf Hamzah
Syafiq Kyle dan Mimi Lana meraih trofi Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 menerusi filem Pusaka. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tiada masalah kerjasama

KUALA LUMPUR: Pada awalnya, penulis ragu-ragu mempertemukan dua pelakon ini dalam sesi fotografi.

Logiknya, bagi mana-mana jejaka dan gadis yang pernah berpacaran, namun, akhirnya, berpisah, tentunya situasi itu agak sukar. Manalah tahu, pertemuan yang diatur boleh menyebabkan luka lama berdarah kembali.

Namun, segala rasa gusar undangan ditolak, lenyap apabila dua bintang sensasi iaitu Syafiq Kyle, 28, dan Mimi Lana, 25, bersetuju merakamkan foto bersama tanpa banyak soal.

Walaupun masing-masing sibuk dengan aktiviti penggambaran, namun, Syafiq dan Mimi sempat meluangkan masa bertandang ke Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Datang berdua, sepanjang sesi fotografi, tidak nampak reaksi kekok atau kurang senang, baik daripada raut wajah atau bahasa tubuh mereka.

Lantas sukar untuk menafsirkan apakah pasangan ini benar-benar sudah berpisah atau masih lagi bercinta? Enggan terus bermain dengan spekulasi, soalan itulah yang diajukan kepada mereka.

Seakan sudah menjangka pertanyaan itu, Mimi menjelaskan mereka sepakat untuk mengutamakan sikap profesionalisme berbanding isu peribadi demi kepentingan karier.

"Walaupun kami sudah tidak lagi bersama, itu tidak bermakna kami tidak boleh bekerjasama. Dalam hal ini, kami mengamalkan sikap profesional. Ini akan memudahkan kami bekerjasama pada masa akan datang.

"Malah, selepas ini, rasanya saya akan lebih kerap berjumpa dengan Syafiq kerana ada banyak projek menanti. Lagipun, kami masuk dalam industri ini sebagai pelakon, bukannya sebagai pasangan bercinta.

"Jadi, kita kena menjadi profesional dalam hal seperti ini," ujar pemilik nama lengkap Mimi Rozaiana Zainal Abidin ini kepada BH Online

Berkongsi pandangan sama dengan bekas kekasihnya itu, Syafiq bersyukur banyak pihak tidak melihat perpisahan mereka sebagai halangan untuk digandingkan dalam sebarang projek.

"Dari tahun lalu sehinggalah sekarang, kami banyak projek bersama. Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Mimi.

"Saya cukup selesa berlakon dengannya kerana kami saling mengenali. Apabila keserasian itu ada, agak senang untuk kami buat keputusan atau arah tuju," katanya.

Syafiq bersyukur kerana banyak pihak termasuk peminat menghormati dan memandang hasil kerja, bukannya isu peribadi.

"Kita kena fikir, perkara ini bukan hanya membabitkan kami berdua, malah seluruh pasukan produksi.

"Jadi, kita kena ketepikan soal peribadi bagi memastikan perkara itu tidak mengganggu hal berkaitan kerja," kata pelakon yang terkenal dengan watak Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur dan Nur 2 ini.

Syafiq Kyle dan Mimi Lana sepakat untuk mengutamakan sikap profesionalisme berbanding isu peribadi demi kepentingan karier. - NSTP/Asyraf Hamzah
Syafiq Kyle dan Mimi Lana sepakat untuk mengutamakan sikap profesionalisme berbanding isu peribadi demi kepentingan karier. - NSTP/Asyraf Hamzah

Apabila Syafiq dan Mimi mengaku mereka sangat profesional, kata-kata itu bukanlah omong-omong kosong.

Ini dibuktikan apabila masing-masing memuat naik foto bersama di Instagram. Lantas, menimbulkan persoalan, apakah hubungan yang terpisah sudah bertaut kembali?

Mengulas perkara itu, pasangan sama padan ini serentak mengharapkan peminat dapat mendoakan yang baik-baik.

"Kalau mereka (peminat) suka, doakan sahaja yang baik-baik. Kalau mereka suka, saya 1,000 kali suka.

"Jika ada sesiapa selepas ini yang mahu mendekati kami berdua atau hendak cuba nasib, kami sangat mengalu-alukan," ujar Syafiq sambil mengukir senyuman nakal.

Ditanya mengapa perlu berpisah andai rasa sayang itu masih ada, Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak mengaku soal hati dan perasaan setiap insan memang sukar diteka serta diterjemahkan. Atas alasan itulah mereka akur pada takdir yang sudah ditentukan.

"Hati setiap manusia ini memang lain dan berbeza-beza," ringkas jawapan berlapik Syafiq.

Kehadiran Syafiq dan Mimi ke studio sempena kejayaan mereka meraih trofi Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 di Axiata Arena, Bukit Jalil, minggu lalu.

Mengulas kemenangan itu melalui filem Pusaka, Mimi menyifatkannya sebagai sesuatu yang unik. Ini kerana watak mereka dalam filem Pusaka bukanlah sebagai pasangan kekasih seperti calon lain.

"Dalam filem ini, kami tidak bercinta. Sebaliknya, kami adalah pasangan kembar tidak seiras.

"Apabila ada pihak melihat keserasian kami menyerlah tanpa perlu 'bercinta', itu adalah sesuatu yang membanggakan," katanya.

Mimi percaya sebagai pelakon, keserasian dengan gandingan boleh wujud tanpa rasa cinta.

"Untuk membawa watak ini, kami kena buat persiapan daripada segi pembinaan karakter. Jadi, kami tidak menghadapi masalah untuk menggalas tanggungjawab itu," katanya yang turut membintangi drama bersiri, Hati Yang Tersakiti bersama Remy Ishak dan Nad Zainal.

Mengakui teruja dengan kemenangan itu, apatah lagi mengenepikan ramai nama besar, Syafiq berkata, trofi ini tidak akan menjadi milik mereka tanpa sokongan dan undian peminat.

"Terima kasih kepada peminat kami, Skylovers dan Mimi Lana Avengers kerana mengundi kami dalam kategori ini.

"Kejayaan tidak akan tercapai tanpa sokongan penonton yang menyaksikan filem Pusaka," katanya.

Berita Harian X