Sabtu, 7 November 2020 | 9:02am
Kedukaan Daniesh Suffian berganti gembira apabila membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 33. - Foto IG Daniesh Suffian
Kedukaan Daniesh Suffian berganti gembira apabila membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 33. - Foto IG Daniesh Suffian

Pencalonan ABPBH 33 tebus duka Daniesh

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Daniesh Suffian, 22, hilang semangat apabila single keduanya, Pilihlah Aku kurang mendapat sambutan berikutan dilancarkan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, kedukaan berganti dengan berita gembira apabila namanya membolosi pencalonan kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

"Saya akui salah pilih waktu ketika melancarkan single Pilihlah Aku. Single ini dilancarkan ketika fasa PKP lalu, jadi sambutannya kurang baik.

"Bagaimanapun, membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 33 bagaikan meniupkan semangat. Bukan mudah disenaraikan dalam top 20, apatah nama saya masih baru.

"Saya berterima kasih kepada BH kerana makin ramai yang mula membuka mata dan mempercayai bakat saya apabila tersenarai dalam ABPBH 33," katanya kepada BH Online.

Daniesh atau nama sebenarnya, Nur Mohd Daniesh Mohd Suffian, 22, berkata, dia memang tak pernah menjangkakan nama mampu membolosi ABPBH 33 secepat ini.

"Alhamdulillah, ia bagaikan rezeki terpijak apabila disenaraikan dengan nama artis baharu hebat yang lain.

"Menang atau kalah, itu soal rezeki dan ketentuan takdir. Saya rasa sudah peroleh kemenangan apabila berada dalam 20 kelompok popular.

"Membolosi pencalonan ini membangkitkan semangat untuk berusaha melakukan apa yang saya suka, iaitu menyanyi," katanya yang meminati bidang nyanyian sejak zaman persekolahan.

Daniesh Suffian kini giat mempromosikan single ketiga, Simpan, selain sibuk dengan program realiti, Vokal Mania yang disiarkan setiap Sabtu di TV3. - Foto IG Daniesh Suffian
Daniesh Suffian kini giat mempromosikan single ketiga, Simpan, selain sibuk dengan program realiti, Vokal Mania yang disiarkan setiap Sabtu di TV3. - Foto IG Daniesh Suffian

Selain giat mempromosikan single ketiga berjudul Simpan ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat, Daniesh juga sibuk dengan program realiti, Vokal Mania yang disiarkan setiap Sabtu di TV3.

"Saya menghadiri kelas vokal kerana inginkan prestasi yang baik dalam program Vokal Mania. Ini adalah kali pertama saya menyertai pertandingan.

"Saya yakin program Vokal Mania mampu dijadikan platform untuk mengetengahkan bakat saya, selain persembahan pentas digilap dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Daniesh turut mengembangkan cabang seni dengan berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Anak kelahiran Tawau, Sabah itu membintangi drama Romantika 4 Hari 3 Malam.

"Ini adalah drama pertama. Jujurnya, saya agak kekok berlakon di hadapan kamera, tetapi mendapat tunjuk ajar dan bantuan pengarah, pelakon dan kru produksi ketika di lokasi penggambaran.

"Mengapa saya tidak mencuba jika ada rezeki? Saya tidaklah terlalu mengharapkan tawaran kerana keutamaan saya masih dalam bidang nyanyian.

"Sekiranya ada tawaran, saya akan cuba memenuhinya, kalau tiada, saya akan fokus pada bidang nyanyian," katanya.

Berita Harian X