Jumaat, 30 Oktober 2020 | 11:00am
Akim, Black, Tomok dan Hazama bakal menghangatkan IB dalam konsert dua malam, Disember depan. Foto IG Konsert 4G’s
Akim, Black, Tomok dan Hazama bakal menghangatkan IB dalam konsert dua malam, Disember depan. Foto IG Konsert 4G’s

Empat jejaka gegar Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Selepas lapan bulan tertangguh berikutan penularan COVID-19, Konsert 4G's menampilkan Tomok, Hazama, Akim dan Black bakal menggegarkan Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, selama dua hari mulai 11 Disember depan.

Dipentaskan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), konsert itu diteruskan bagi menunaikan janji kepada peminat yang sudah membeli tiket.

Ketua Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Fandy Alias, berkata pihaknya tidak mahu lagi 'berhutang' dengan peminat.

"Bulan lalu, kami putuskan Konsert 4G's diteruskan Disember depan selepas melihat angka jangkitan mula menurun.

"Namun, kita tidak sangka kes jangkitan COVID-19 melonjak semula sejak dua minggu lalu.

Konsert 4G’s akan dipentaskan mengikut SOP dengan jumlah penonton terhad kepada 500 orang. Foto IG Konsert 4G’s
Konsert 4G’s akan dipentaskan mengikut SOP dengan jumlah penonton terhad kepada 500 orang. Foto IG Konsert 4G’s

"Biar apapun, kita berharap jumlah jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan dalam tempoh kira-kira 40 hari akan datang sebelum berlangsungnya konsert ini," katanya kepada BH Online.

Fandy berkata, beliau memantau perkembangan jangkitan COVID-19 saban hari sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami ada masa kira-kira 40 hari... Jadi, saya amat mengharapkan ketika konsert berlangsung, graf rantaian COVID-19 mampu dilandaikan.

"Saya percaya pihak berwajib mampu mengekang penularan wabak itu," katanya.

Fandy berkata, pihaknya berharap konsert berkenaan tidak lagi ditangguhkan.

"Kalau boleh, kami tidak mahu menangguhkan lagi konsert ini, malah, peminat sudah mula bertanya.

"Apatah lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah rakan rasmi projek ini dan kami sudah mendapatkan kelulusan MKN," katanya.

Namun, Fandy berkata, peminat yang sudah membeli tiket tetapi mahu memulangkannya, tidak dihalang.

Tambahnya, syarikat sudah mengedarkan borang kepada pembeli tiket menerusi e-mel dan memberi tempoh kira-kira dua minggu untuk membuat permohonan.

Fandy berkata, setakat ini, tidak ramai pembeli tiket meminta wang dikembalikan kecuali peminat dari Singapura dan Brunei.

"Kami tidak mahu mengambil kesempatan ke atas mereka yang sudah membeli tiket.

"Namun, ada peminat menuntut wang mereka atas sebab lain termasuk yang paling menyedihkan, ada yang mendakwa dibuang kerja.

"Kami akur kerana apa yang berlaku sehingga konsert ditangguhkan adalah di luar bidang kuasa," katanya.

Sementara itu, Fandy berkata, tanpa sokongan kementerian, Konsert 4G's tidak akan berjaya.

Tambahnya, pihaknya sebelum ini mendapat tajaan kecil selain tidak dapat bergantung kepada jualan tiket apabila kapasiti lokasi konsert dikurangkan mengikut SOP.

"Sepatutnya Panggung Sari boleh memuatkan 1,300 orang. Namun, bagi mematuhi SOP, hanya 500 penonton dibenarkan untuk satu sesi," katanya.

Namun, Fandy berkata, biarpun tidak 'pulang' modal, pihaknya akan memastikan mutu konsert terjamin.

"Tiada satu elemen pun yang akan dikurangkan walaupun tidak 'pulang' modal. Kami perlu teruskan konsert ini kerana bukan mudah untuk mendapatkan tarikh bagi keempat-empat penyanyi.

"Selain itu, dalam tempoh terdekat, tidak ada lagi persembahan besar seperti ini.

"Sehubungan itu, konsert ini boleh mengubat kerinduan peminat untuk menyaksikan persembahan berskala besar," katanya.

Fandy turut merakamkan rasa terima kasihnya kepada kementerian yang memberi suntikan dana.

"Sumbangan itulah yang digunakan untuk membayar tenaga kerja termasuk penyanyi.

"Saya berterima kasih kepada kementerian kerana mengambil berat dan memastikan industri seni terus bergerak dan membantu menjana semula ekonomi negara," katanya.

Berita Harian X