Isnin, 26 Oktober 2020 | 3:13pm
Niezam sekadar memberi jawapan ‘tiada komen’ apabila ditanya mengenai pengakuan Nonny bahawa mereka membatalkan perkahwinan. Foto IG Nonny Nadirah
Niezam sekadar memberi jawapan ‘tiada komen’ apabila ditanya mengenai pengakuan Nonny bahawa mereka membatalkan perkahwinan. Foto IG Nonny Nadirah

Nonny umum tak jadi kahwin

KUALA LUMPUR: Mengejutkan peminat, Nonny Nadirah mengumumkan dia dan teman lelaki yang juga pelakon, Niezam, membatalkan rancangan untuk berkahwin.

Meluahkan isi hati melalui perkongsian video di Instagram (IG), malam tadi, Nonny bagaimanapun mengucapkan selamat hari jadi kepada Niezam yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-28, hari ini.

"Sekadar makluman, selepas mengambil kata sepakat, perkahwinan antara kami sudah dibatalkan.

"Satu sahaja kami minta, tolong doakan kebahagiaan buat kami dan bertemu jodoh yang baik-baik untuk diri masing-masing.

"Sesungguhnya, kami hanya mampu merancang tapi Allah itu sebaik-baik perancang.

Nonny mengumumkan rancangan untuk berkahwin dengan teman lelakinya, Niezam dibatalkan melalui perkongsian di IG, malam tadi. Foto IG Nonny Nadirah
Nonny mengumumkan rancangan untuk berkahwin dengan teman lelakinya, Niezam dibatalkan melalui perkongsian di IG, malam tadi. Foto IG Nonny Nadirah

"Kepada rakan media, saya tidak dapat mengulas semula dengan anda semua. Untuk saat ini, saya simpan dulu komen lanjut. Harap semua faham... Sayang semua," luah Nonny.

Sejak beberapa bulan lalu, Nonny yang juga bekas peserta musim kelima Akademi Fantasia (AF) dan Niezam, cukup terbuka berkongsi kisah peribadi mereka di IG.

Malah, Niezam dikatakan merancang untuk menyunting Nonny sebagai isteri sebelum akhir tahun ini.

Sempena hari jadi Niezam, Nonny sempat memberi ucapan berbunyi:

"Semoga Allah memberkati dan merahmati seluruh usiamu, dikurniakan kesihatan yang baik, dikayakan dengan iman, taqwa dan harta

"Semoga menjadi anak yang baik dan bertemu jodoh dengan orang yang baik. Semoga dikurniakan kebaikan, hajat dunia dan akhirat," katanya.

Sementara itu, Niezam ketika dihubungi BH Online sekadar memberi jawapan, 'tiada komen'.

Nonny yang berpisah dengan bekas suami, dua tahun lalu, pernah berlakon bersama Niezam dalam telefilem Bedah Motor dan Luka Di Hati Diya.

Berita Harian X