X
Khamis, 22 Oktober 2020 | 2:45pm
Hun enggan memanjangkan kontroversi video panas dan memberikan tumpuan kepada kerjaya seni. Foto Ihsan Hun Haqeem
Hun enggan memanjangkan kontroversi video panas dan memberikan tumpuan kepada kerjaya seni. Foto Ihsan Hun Haqeem

Isu video panas, Hun serah kepada MIG

KUALA LUMPUR: Pelakon kontroversi, Hun Haqeem menyerahkan isu video 'panas' yang tersebar sejak minggu lalu kepada syarikat pengurusan, Metrowealth International Group (MIG) untuk diselesaikan.

Enggan memanjangkan cerita sensasi itu, Hun mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni terutama komitmen di lokasi penggambaran sekarang.

"Saya serahkan segala-segalanya kepada pihak pengurusan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyebar video terbabit.

"Saya mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni dan sedang melunaskan baki penggambaran drama Angkara Cinta.

Hun menyerahkan kepada syarikat pengurusan untuk menyelesaikan isu video panas yang tercetus sejak minggu lalu. Foto Ihsan Hun Haqeem
Hun menyerahkan kepada syarikat pengurusan untuk menyelesaikan isu video panas yang tercetus sejak minggu lalu. Foto Ihsan Hun Haqeem

"Saya memohon maaf kepada mana-mana pihak termasuk teman wartawan kerana mengambil pendekatan berdiam diri ketika kontroversi video itu tercetus," katanya kepada BH Online.

Hun mengulas kontroversi tercetus apabila video yang memaparkan wajah pelaku yang dikatakan mirip pelakon drama popular, Kampung People itu melakukan aksi tidak senonoh, viral, di laman sosial.

Semalam, MIG memuat naik video durasi dua minit memaparkan Pengarah Urusannya, David Teo memberi amaran mengambil tindakan tegas terhadap penyebar video terbabit.

Percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi, Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy optimis mahu terus mengukuhkan namanya di persada seni.

Sementara itu, Teo berkata, pihaknya sudah mengenal pasti penyebar video terbabit dan memandang serius perbuatan menyebarkan rakaman seumpama itu.

"Banyak artikel, video dan foto disebarkan di platform media sosial seperti Twitter, Youtube dan lain-lain.

"Saya sudah berunding dengan peguam dan kami sudah mengenal pasti penyebar video dan berita palsu membabitkan Hun.

"Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada semua pihak yang terbabit dan semua bukti sudah dirakam.

"Saya harap sesiapa yang menyebar video, foto dan artikel, sila turunkan atau padam sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya.

Berita Harian X