Rabu, 14 Oktober 2020 | 11:00am
Achey bersama Kanumbu dan Dr Zunita pada majlis penyerahan sumbangan cek kepada CANRES. Foto NSTP
Achey bersama Kanumbu dan Dr Zunita pada majlis penyerahan sumbangan cek kepada CANRES. Foto NSTP

Achey rasa derita pesakit kanser

KUALA LUMPUR: Pernah menyaksikan sendiri ibu saudara bertarung nyawa melawan kanser payu dara, Achey tidak berfikir dua kali memberi sumbangan kepada Makmal Penyelidikan Kanser Universiti Putra Malaysia (UPM) - Majlis Kanser Nasional (MAKNA) (CANRES).

Menyedari sumbangan bakal digunakan bagi tujuan penyelidikan kanser payu dara, Achey tidak mahu ketinggalan menghulurkan dana selagi terdaya.

"Saya ada pengalaman ahli keluarga diragut nyawa akibat kanser. Saya lihat bagaimana ibu saudara bertarung nyawa dan sengsara melawan kanser payu dara selama hampir empat tahun.

Keluarga bahagia Achey. Foto IG Achey
Keluarga bahagia Achey. Foto IG Achey

"Jadi sumbangan ini memang sangat tepat pada masanya," katanya kepada BH Online.

Atas kesedaran itu, Achey dan Nabil Ahmad memberi sumbangan RM15,000 kepada CANRES, iaitu hasil daripada penjualan produk diusahakan mereka, Sugarbomb X Achey dan Edisi SugarBomb X LuPK, sepanjang bulan ini.

Majlis penyerahan bantuan itu turut dihadiri Pengurus Besar SugarBomb, Kanumbu Agussalim dan Pengarah Institut Biosains UPM, Prof Dr Zunita Zakaria di Bandar Bukit Raja, Klang, baru-baru ini.

Achey berharap, sumbangan itu dapat membuka mata masyarakat mengenai bahaya pembunuh senyap itu.

"Saya mahu masyarakat terutama lelaki tahu penyakit kanser payu dara tidak hanya menyerang wanita, kita turut berisiko.

"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan kira-kira dua tahun lalu, jumlah lelaki yang dijangkiti kanser payu dara adalah sama dengan wanita.

"Namun, kesedarannya tidak sampai kepada masyarakat," katanya.

Achey berkata, pada mulanya, Nabil berkongsi idea untuk memberi sumbangan kepada CANRES.

"Nabil suka melakukan aktiviti kebajikan. Saya ikut sahaja idea dia atas tujuan baik.

"Pada masa sama, pihak SugarBomb bertanya ke mana sumbangan hendak disalurkan. Apakah bantuan akan digunakan untuk pendidikan atau perubatan.

"Kami memilih perubatan apatah lagi dengan pandemik COVID-19 sekarang. Mungkin selepas ini kami boleh hulur bantuan pendidikan pula," katanya.

Bulan Kesedaran Kanser Payu dara Sedunia disambut setiap Oktober dan dikenali sebagai 'Pink October'.

Berita Harian X