X
Selasa, 13 Oktober 2020 | 6:00pm
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Diddy Hirdy bersama isteri dan dua cahaya mata yang kini berada di Liverpool. - Foto Diddy Hirdy
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Diddy Hirdy bersama isteri dan dua cahaya mata yang kini berada di Liverpool. - Foto Diddy Hirdy

Tak sempat tatap wajah orang tua

KUALA LUMPUR: Tidak berada di sisi ibu bapa mentua saat mereka 'menutup mata' menimbulkan kesedihan mendalam buat penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Diddy Hirdy dan isterinya, Allen Nor Azah Musa yang kini masih berada di Liverpool, England.

Selepas pemergian bapa mentua pada 2014, Diddy dan Allen berdepan satu lagi kehilangan apabila ibu mentua, Allahyarham Hasnah Salleh meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor pada 10 Oktober lalu.

Biarpun perit, berita pemergian arwah ibu mentua diterima Diddy dan isterinya dengan reda. Ketika ini, bapa kepada dua cahaya mata itu sedang melunaskan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang muzik di Liverpool.

Diddy berkata, dia, isteri dan anak-anak tidak dapat pulang untuk menatap wajah ibu mentua buat kali terakhir berikutan situasi semasa pandemik COVID-19.

"Hati mana tidak terkilan apabila tak dapat menyempurnakan jenazah orang tua. Jika saya sedih, kesedihan isteri lebih mendalam.

"Saat ini segala-galanya terbatas termasuklah merentas negara. Liverpool menjadi bandar ketiga tertinggi dengan kes COVID-19 di Eropah. Perintah berkurung sudah kembali dikuat kuasa sejak beberapa minggu lalu.

"Menang timbul perasaan ralat di hati apabila pemergian arwah ibu mentua pada saat baki pengajian PhD hanya tinggal beberapa bulan. Saya, isteri dan dua cahaya mata akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi," katanya kepada BH Online.

Diddy Hirdy tak sempat menatap wajah arwah ibu bapa mentua sejak berada di Liverpool. - Foto Diddy Hirdy
Diddy Hirdy tak sempat menatap wajah arwah ibu bapa mentua sejak berada di Liverpool. - Foto Diddy Hirdy

Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdi Muhid berkata, dia kini sedang bertarung saat akhir untuk menyelesaikan pengajian PhD.

"Saya pernah berdepan situasi sama ketika arwah bapa mentua meninggal dunia pada 2014. Saya dalam fasa akhir pengajian peringkat Sarjana ketika itu. Saya tak dapat sertai isteri dan anak pulang ke Malaysia bagi memberikan penghormatan terakhir.

"Kali ini, ujian datang lagi. Bagaimanapun, saya bersyukur ahli keluarga tak putus memberi semangat, malah mereka membantu proses pengurusan jenazah," katanya ketika membalas pesanan menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, arwah ibu mentua meninggal dunia secara mengejut dan tidak sakit teruk.

"Isteri saya anak tunggal. Saya diberitahu sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sedang berbual dengan anak saudaranya.

"Arwah memaklumkan sakit perut dan tiada selera makan. Bagaimanapun, perbualan terhenti secara tiba-tiba. Anak saudara fikir arwah pengsan kerana situasi ini pernah terjadi.

"Anak saudara memanggil ambulans ke rumah. Bagaimanapun, paramedik mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.

"Semuanya berlaku begitu pantas dalam keadaan mengejut. Kami sedia maklum tahap kesihatan arwah makin merosot sejak kebelakangan ini," katanya.

Diddy berkata, jika berpeluang balik sekali pun, perjalanan sahaja mengambil masa selama 18 jam.

"Kami juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. Jadi, tidak sempat menguruskan jenazah arwah," katanya.

Berita Harian X