Jumaat, 9 Oktober 2020 | 1:00pm
Datuk Seri Siti Nurhaliza berehat tanpa diketahui kembali aktif dalam kegiatan seni. - Foto IG Siti Nurhaliza
Datuk Seri Siti Nurhaliza berehat tanpa diketahui kembali aktif dalam kegiatan seni. - Foto IG Siti Nurhaliza

Siti berehat panjang?

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 41, mengambil keputusan berehat daripada sebarang kegiatan seni.

Seperti diketahui, penyanyi yang sedang meledak menerusi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu dalam usaha mendapatkan cahaya mata kedua.

Sebelum ini, terbit spekulasi mendakwa Siti kini sudah berbadan dua, tetapi beliau tidak mengiya atau menidakkan, sebaliknya memberitahu tidak akan menyembunyikan berita gembira apabila tiba masanya nanti.

Bagaimanapun, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu tidak mahu meninggalkan peminat dengan kerinduan menebal.

"Saya mahu karya menemani peminat. Selepas album SimetriSiti, ManifestaSITI2020 juga disiapkan dan dikeluarkan sebelum saya berehat. Selama mana berehat, hanya Allah lebih mengetahuinya.

"Saya percaya peminat sentiasa memberikan sokongan dengan membeli album, penstriman, undi lagu menerusi carta radio dan Muzik Muzik. Ini usaha mereka yang disifatkan 'hadiah' terindah buat saya," katanya kepada BH Online.

ManifestaSITI2020 yang meraih Anugerah Emas membuktikan album fizikal masih mempunyai permintaan. - Foto IG Siti Nurhaliza
ManifestaSITI2020 yang meraih Anugerah Emas membuktikan album fizikal masih mempunyai permintaan. - Foto IG Siti Nurhaliza

Selain itu, Siti juga membuktikan album fizikal masih mempunyai permintaan apabila album ManifestaSITI2020 yang dilancarkan sejak 3 Julai lalu berjaya mencatat jualan lebih 5,000 unit, sekali gus meraih Anugerah Emas daripada Universal Music.

"Saya bersyukur album fizikal masih mendapat sambutan baik selepas empat bulan berada di pasaran dalam era digital ini. Ia satu pencapaian membanggakan dan berharap jualan album ini terus meningkat.

"Menerbitkan album penuh pada zaman era digital ini memerlukan modal besar. Setiap karya perlulah ada sentuhan istimewa dan lebih segar dengan pelbagai instrumen dan kreativiti. Saya lega, puas hati dan kebimbangan terus hilang apabila album ManifestaSITI2020 mendapat perhatian.

"Tidak mudah mendapatkan kepercayaan syarikat rakaman untuk menghasilkan album penuh, tetapi penjualan album ini memberikan keyakinan untuk meneruskan kerjasama lagi," katanya penyanyi yang baru dinobatkan sebagai Malaysia's Most Admired bagi kategori wanita oleh portal YouGov.

Portal YouGov, syarikat penyelidikan terkemuka di dunia yang mengumpul data dan maklumat hasil perkongsian pandangan daripada 9.6 juta ahli seluruh dunia.

Sejak dilancarkan, single yang dimuatkan dalam album milik penyanyi itu sering berkumandang di radio, malah album yang memuatkan 11 lagu termasuk Anta Permana pernah menduduki tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 pada Februari lalu.

Turut terkandung dalam album berkenaan adalah lagu 7 Nasihat yang menyaksikan kolaborasi Siti bersama penyanyi duo Hip Hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Menerusi lagu Aku Bidadari Syurgamu yang diangkat sebagai lagu tema drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang ditayangkan di slot Akasia TV3 pada Julai lalu, sekali gus Siti berjaya menambat hati pendengar hingga lagu berkenaan berjaya tersenarai dalam carta radio dan carta platform digital hingga hari ini.

Video muzik rasmi lagu Aku Bidadari Syurgamu berjaya mencapai lebih 10 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube, Julai lalu.

Walaupun situasi tidak menentu berikutan pandemik COVID-19, namun tidak menghalang Siti mempromosikan lagu berkenaan kepada pendengar.

Kebijaksanaan Siti dalam mempromosi lagu dalam masa yang sama berkempen menggunakan lagu '7 Nasihat' yang diubahsuai liriknya berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai usaha membendung penularan wabak COVID-19 pada ketika itu.

"Saya bersyukur atas nikmat kejayaan yang diraih selama ini. Segala-galanya hasil sokongan peminat, syarikat rakaman dan teman media," katanya.

Berita Harian X