Khamis, 8 Oktober 2020 | 1:00pm

Impak hasil kerja

KUALA LUMPUR: Kemunculan beberapa wajah baharu mengungguli pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH edisi ke-33 (ABPBH 33) menjadi penanda aras perubahan drastik kepada industri hiburan tempatan.

Ia sekali gus membuktikan impak pada hasil kerja yang ditunjukkan sama ada lakonan, nyanyian, lawak jenaka, pengacaraan dan penyampai radio sepanjang tahun lalu.

Peminat semakin bijak dalam membuat pemilihan selebriti diminati, bukan hanya berdasarkan personaliti, sebaliknya hasil kerjaya diberi, terutama drama atau karya yang didendangkan.

Sejajar penganjurannya, ABPBH 33 bakal memeriahkan industri hiburan tanah air dengan bermulanya undian pencalonan awal bagi menentukan selebriti yang akan merebut 13 kategori utama dan lima kategori online.

Mulai semalam ABPBH 33 membuka pengundian dalam kategori utama dan online. Peminat boleh melayari www.abpbh.com.my dan memilih artis kesayangan daripada 20 calon dalam setiap kategori, sehingga tarikh tutup 8 November depan.

Menampilkan tema #ABPBHKITA2020, tempoh sebulan ditetapkan untuk peminat mengundi artis pilihan dengan pemenang bakal diumumkan pada malam kemuncak acara berprestij ini, November depan.

BH Online mendekati beberapa penyanyi dan pelakon yang dipilih sebagai calon top 20.

Naim Daniel dicalonkan menerusi empat kategori.
Naim Daniel dicalonkan menerusi empat kategori.

Naim Daniel yang menembusi empat kategori utama dan online menyuarakan penghargaan apabila BH tidak putus menyokong kerjayanya dalam dunia lakonan dan nyanyian.

"Jujurnya, ini adalah satu cabaran apabila dicalonkan menerusi empat kategori menerusi ABPBH 33. Saya bersyukur, tetapi membolosi empat kategori adalah bilangan yang banyak. Tertanya dalam hati, apa yang dibuat hingga disenaraikan dalam empat pencalonan ini?

"Terima kasih kepada BH dan peminat yang menyokong serta mengundi saya.

"Saya mendoakan segala-galanya akan dipermudahkan. Seperti yang diketahui, ABPBH adalah anugerah berprestij yang diadakan setiap tahun. Dapat menjadi sebahagian dengan hanya disenaraikan sebagai top 20 pun sudah cukup menggembirakan," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Sumpah itu berkata, dia tidak memikirkan kemenangan, sebaliknya mahu peminat bergembira sepanjang sesi pengundian yang bermula semalam.

"Saya hanya berharap pengundi bergembira, mengikut daya dan kemampuan. Sebab apapun, semuanya bergantung kepada rezeki. Menang atau kalah bukan penentu serta pengukur di mana kita berada. Apa yang penting, kita buat semua dengan ikhlas," katanya yang dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan Lagu Paling Boom menerusi lagu Sumpah.

Bintang baharu, Hun Haqeem membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular.
Bintang baharu, Hun Haqeem membolosi kategori Artis Baharu Lelaki Popular.

Turut berkongsi kegembiraan tersenarai sebagai top 20 adalah pelakon, Hun Haqeem.

Katanya, ini adalah berita mengejutkan buat sebagai pelakon yang sedang meningkat sepertinya.

"Berita menembusi pencalonan ini cukup mengejutkan. Saya langsung tak menyangka disenaraikan dalam mana-mana anugerah. Saya bergelar pelakon bukan atas niat menang anugerah.

"Tetapi, dicalonkan buat kali pertama ini adalah satu penghargaan. Saya terharu apabila orang luar nampak usaha dalam bidang lakonan. Pastinya, saya berterima kasih kepada pasukan drama Kampung People.

"Ini kerana saya tak boleh menafikan, drama ini banyak membantu melonjakkan nama saya," katanya yang dicalonkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular.

Katanya, pencalonan ABPBH 33 secara tak langsung memberikan semangat untuk terus bekerja keras dalam bidang lakonan.

"Ia meniup kekuatan untuk saya memberikan prestasi terbaik dalam lakonan, meskipun hanya tersenarai sebagai top 20. Cukup bermakna bagi orang baru seperti saya," katanya.

Zara Zya membolosi kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Alif Satar.
Zara Zya membolosi kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Alif Satar.

Sementara itu, pelakon, Zara Zya yang menembusi kategori Pelakon TV Wanita Popular bersyukur apabila namanya masih lagi sangkut, tahun ini.

"Saya terharu apabila masih lagi dicalonkan. Alhamdulillah, atas kurniaan ini. Jika ditanya mengenai perasaan, saya gembira biarpun bersaing dengan nama hebat dalam industri hiburan.

"Bagaimanapun, saya tak meletakkan harapan untuk menang. Niat saya mahu memeriahkan ABPBH 33 yang banyak memberikan peluang selama ini," katanya yang turut dicalonkan menerusi kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular bersama pelakon Alif Satar menerusi drama Pia.

Berita Harian X