X
Ahad, 27 September 2020 | 8:30am
Keretakan rumah tangga Nadia Brian dan suami, Muizz Nasruddin sudah dapat dihidu apabila tiada lagi gambar bersama dalam laman sosial. - Foto Ihsan Azim Wahab
Keretakan rumah tangga Nadia Brian dan suami, Muizz Nasruddin sudah dapat dihidu apabila tiada lagi gambar bersama dalam laman sosial. - Foto Ihsan Azim Wahab

Rumah tangga Nadia, Muizz berantakan?

KUALA LUMPUR: Sudah terang lagi bersuluh. Rumah tangga pelakon, Nadia Brian dan suaminya, Muizz Nasruddin kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Sebelum ini, kisah keretakan rumah tangga pelakon drama Lelakimu Yang Dulu yang dibina sejak 9 November 2019 bagaikan dapat dihidu.

Namun, awalnya, Nadia menepis dakwaan dengan alasan enggan berkongsi urusan peribadi dalam media sosial. Lebih mencetuskan tanda tanya apabila Nadia dan Muizz tidak lagi kongsi gambar bersama, bahkan mereka tidak lagi mengikuti laman Instagram antara satu sama lain.

Ia bagai mengesahkan cerita apabila Muizz memuat naik foto perkahwinan hitam putih.

"Satu hakikat, saya berikan hati dan jiwa. Saya sudah memberikan yang terbaik, namun, ia tak mencukupi buat awak.

"Tiada apa yang lebih menyakitkan hati saat dikhianati, dikecewakan dan dihina orang yang kita fikir, takkan melukakan kita," tulis Muizz.

Katanya, dia yakin bahawa Allah ada perancangan yang lebih baik buat dirinya.

"Terima kasih kepada keluarga dan rakan atas sokongan moral. Saya percaya, Allah ada perancangan lebih baik untuk saya. Insya-Allah, keadilan akan terbukti," tulisnya.

Saat indah Nadia Brian ketika dilamar Muizz Nasruddin di kota Paris pada Februari, tahun lalu. - Foto Nadia Brian
Saat indah Nadia Brian ketika dilamar Muizz Nasruddin di kota Paris pada Februari, tahun lalu. - Foto Nadia Brian

Usaha Berita Harian Online menghubungi Muizz berjaya, namun dia memilih untuk tidak mengulas lanjut.

"Tanyalah kepada Nadia. Saya tak mahu komen saat ini," kata Muizz.

Sementara itu, Nadia berkata, tidak mahu mengeruhkan keadaan pada saat ini.

"Saya tak ada nak komen apa-apa. Saya berdoa dan berharap semua akan selesai dengan baik. Itu sudah memadai.

"Saya tak suka bercerita kepada umum," katanya kepada BH Online.

Ditebak apakah semua ini petanda rumah tangganya seperti telur di hujung tanduk, Nadia mengunci mulut.

"No komen," katanya.

Berita Harian X