Sabtu, 26 September 2020 | 6:17pm
Hubungan baik Sheila Mambo dan Allahyarham Wan Chik Daud sudah seperti ibu serta anak. Bagaimanapun, arwah tidak mengenalinya ketika uzur - Foto IG Sheila Mambo
Hubungan baik Sheila Mambo dan Allahyarham Wan Chik Daud sudah seperti ibu serta anak. Bagaimanapun, arwah tidak mengenalinya ketika uzur - Foto IG Sheila Mambo

Pejam mata atas pangkuan

KUALA LUMPUR: Rakan artis menyifatkan Allahyarham Wan Chik Daud, 80, yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi pelbagai penyakit sebagai wanita kuat dan tabah.

Pelakon, Sheila Mambo menganggap arwah seperti kakak dan ibunya.

"Saya rapat dengan arwah sejak muda lagi. Malah, ketika suaminya, Allahyarham M Rajoli masih ada, arwah Wan Chik sering mengajak saya mengikutnya ke kelas mengaji kira-kira 15 tahun lalu.

"Jika ada penggambaran dengan arwah M Rajoli yang dipanggil 'uncle', kelibat arwah Wan Chik juga sesekali ada.

"Pernah arwah M Rajoli mengusik arwah, kena ambil saya terus di rumah jika mahu mengajak saya mengikuti kelas mengaji, bukan setakat mengajak.

"Kami sempat ke kelas mengaji bersama selama beberapa bulan. Itu antara kenangan indah bersama arwah," katanya kepada BH Online ketika ditemui di kediaman arwah.

Allahyarham Wan Chik yang juga pembaca berita popular RTM dan pelakon meninggal dunia pada usia 80 tahun akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk kanser payu dara di kediamannya di Lembah Keramat, di sini, jam 10 pagi tadi.

Selain penyakit kanser payu dara tahap empat, arwah juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lumpuh.

Jenazah bekas pembaca berita, Allahyarham Wan Chik Daud dibawa ke Masjid Al Khariah AU3, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana selepas Asar. - NSTP/Ezairi Shamsudin
Jenazah bekas pembaca berita, Allahyarham Wan Chik Daud dibawa ke Masjid Al Khariah AU3, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana selepas Asar. - NSTP/Ezairi Shamsudin

Sheila berkata, dia sempat beberapa kali datang menziarahi arwah ketika sakit.

"Bagaimanapun, arwah sudah tidak kenal ketika saya menziarahinya. Setahu saya, arwah tak 'lost' ketika pemergian arwah M Rajoli pada 2010. Begitu juga ketika diuji dengan pelbagai penyakit, arwah sangat kuat.

"Arwah pernah juga berkongsi cerita peribadi dilaluinya. Kami berkongsi sebagai teman yang boleh dianggap rapat," katanya.

Sementara itu, teman seperjuangan dalam dunia penyiaran radio, Mustafa Maah berkata, dia mengenali arwah sejak 1971.

"Arwah mesra dengan panggilan Kak Wan. Beliau lebih senior dan kami pernah bekerja di bawah unit sama di bahagian persembahan di Radio 1.

"Sepanjang mengenalinya, arwah sangat disiplin dan tegas. Arwah serius dan profesional bekerja. Hubungan dengan rakan sekerja juga terlalu mesra.

"Saya sering menziarahinya ketika uzur bersama ahli persatuan Veteran RTM," kata Mustafa.

Bekas penyampai radio, Mustafa Maah. - NSTP/Ezairi Shamsudin
Bekas penyampai radio, Mustafa Maah. - NSTP/Ezairi Shamsudin

Musfafa berkata, arwah bersara lebih awal daripadanya.

"Arwah membaca berita RTM selepas bertugas di stesen radio. Jadi, kami sudah jarang berjumpa.

"Saya akui arwah cukup berkaliber sebagai pembaca berita. Sebutannya dinamik dan beretika. Arwah dianggap perintis dan idola buat ramai penyampai berita kerana cara penyampaian sangat bersahaja," katanya.

Usaha BH Online menemubual anaknya ketika menziarah jenazah arwah Wan Chik bagaimanapun ditolak dengan baik. Bagaimanapun, ia hanya diwakilkan kepada pembantu, Fauziah Abd Rahman yang menjaga bintang filem Do Re Mi itu sejak tujuh tahun lalu.

Fauziah berkata, Allahyarham seorang yang sangat kuat.

"Arwah dilihat kebal selama saya menjaganya. Walaupun sakit, arwah mahu melawan segala rasa yang tidak enak.

"Beliau juga disifatkan sebagai majikan yang sangat baik. Saya bertuah memiliki majikan sepertinya.

"Sudah rezeki, arwah meninggal dunia pangkuan saya," kata Fauziah.

Arwah dikurniakan empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham M Rajoli. Dua daripadanya menetap di Amerika Syarikat dan Singapura, manakala dua lagi di Kuala Lumpur. Arwah memiliki enam cucu.

Jenazah dibawa ke Masjid Al Khariah AU3 untuk dimandi dan disolatkan. Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana selepas Asar.

Berita Harian X