Jumaat, 25 September 2020 | 6:29pm
Pemergian SPB mengejutkan teman artis dan peminat. Foto Agensi
Pemergian SPB mengejutkan teman artis dan peminat. Foto Agensi

Bintang legenda, SP Balasubrahmanyam meninggal dunia

CHENNAI: Bintang legenda India, SP Balasubrahmanyam dilaporkan meninggal dunia pada usia 74 tahun di sini, hari ini.

Memetik laporan portal tempatan, SP Balasubrahmanyam atau dikenali sebagai SPB, dimasukkan ke hospital hampir dua bulan selepas didapati positif COVID-19, awal Ogos lalu.

Dilaporkan, SPB diminta dikuarantin di rumah berikutan simptom dialami tidak serius. Namun, mendiang memilih untuk menjalani rawatan di hospital selepas dinasihati keluarga.

Sebelum ini, bapa dua anak itu dilaporkan di dalam keadaan baik sehingga 13 Ogos lalu. Namun, kesihatannya merosot sejak dua hari lalu, lapor agensi.

Bagaimanapun, SPB didapati negatif COVID-19 pada 13 September lalu.

Anak mendiang, SP Charan meluahkan penghargaan kepada media tempatan, lapor portal berita.

"Ayah menghembuskan nafas terakhir pada 1.04 petang. Terima kasih semua atas doa. Ayah saya akan terus hidup dalam ingatan peminat," katanya.

Pemergian SPB mengejutkan ramai rakan selebriti dan peminat. Ramai yang berkongsi rasa sedih di laman sosial.

SPB dikenali sebagai seniman berbakat besar. Tidak hanya menyanyi, SPB dikenali sebagai pelakon, pengarah muzik dan penerbit filem dalam pelbagai bahasa.

Sepanjang karier lima dekad, mendiang pernah merakamkan lebih 40,000 lagu dalam beberapa bahasa.

SPB juga memenangi beberapa anugerah dan penghargaan. Malah, mendiang mencatat Rekod Dunia Guinness apabila berjaya merakamkan jumlah lagu terbanyak.

Selain itu, SPB turut dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Playback Terbaik pada Anugerah Nation sebanyak enam kali, Anugerah Nandi (25 kali) selain Anugerah Padma Shri yang diterima pada 2001 serta Padma Bhushan (2011).

Berita Harian X