Khamis, 24 September 2020 | 7:22pm
Zul Ariffin ingin teman wanita bersikap terbuka sepertinya, tidak suka dikawal dan mengongkong. - Foto IG Zul Ariffin
Zul Ariffin ingin teman wanita bersikap terbuka sepertinya, tidak suka dikawal dan mengongkong. - Foto IG Zul Ariffin

Zul tak suka dikongkong

KUALA LUMPUR: Banyak kes keruntuhan rumah tangga yang berlaku sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kelegaan kepada pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin, 34, masih memikul status bujang.

Anak bongsu daripada empat beradik itu menetap bersama kakaknya berkata, dia melalui hidup lebih tenang dan suka privasi sepanjang tempoh PKP.

"Saya bersyukur masih belum berkahwin memandangkan banyak kisah tidak enak yang didengar mengenai keruntuhan rumah tangga sepanjang tempoh PKP," kata Zul yang ditemui selepas sesi sidang media filem Juang.

Meskipun pernah mengumumkan mahu menamatkan zaman bujang, tahun ini pelakon filem Sangkar itu berkata, dia tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman solonya.

Zul berkata, dia tak suka terikat dengan komitmen, dikongkong dan mengongkong.

"Bagi saya, tiada apa yang mahu dibanggakan dengan satu perhubungan. Adakah berbangga memiliki kekasih sekadar untuk menyedapkan hati sendiri dan tunjuk pada orang? Selagi belum berkahwin, selagi itu tiada kepastian dalam hubungan percintaan.

"Lagipun, saya tak suka hubungan percintaan mengganggu kerjaya. Saya tak akan menghalang wanita yang berkawan dengan saya keluar dengan sesiapa, selagi kami belum berkahwin.

"Saya mahukan teman wanita bersikap terbuka seperti saya. Saya tak suka dikawal atau ditegur dengan siapa saya ingin bersosial. Teman wanita tidak ada hak untuk masuk campur kerana tidak mahu menjejaskan kerjaya dan perniagaan.

"Saya penat dengan hubungan toksik. Saya tak mahu pisang berbuah berkali-kali. Saya tak akan teragak-agak menamatkan perhubungan. Siapa wanita yang bakal dipilih sebagai calon isteri, dia adalah insan yang memang memahami sikap," tegasnya.

Zul Ariffin bersama penerbit, Datuk Rosyam Nor dan pengarah filem bertaraf mega, Juang. - Foto IG Zul Ariffin
Zul Ariffin bersama penerbit, Datuk Rosyam Nor dan pengarah filem bertaraf mega, Juang. - Foto IG Zul Ariffin

Pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin itu berkata, dia tidak mahu cerita berkaitan kisah cinta menjejaskan kerjaya sebagai pelakon berikutan pernah melalui pengalaman sedemikian.

Zul berkata, dia juga mengelak membawa masalah ke lokasi penggambaran yang disifatkan boleh menjejaskan kualiti lakonannya.

"Sebagai pelakon, saya tidak mahu datang ke lokasi dengan muka kelat disebabkan masalah dengan teman wanita. Terpaksa pula berpura-pura ceria dan gembira di depan kamera kerana perlu menghayati watak komedi.

"Seorang artis veteran pernah menasihati saya. Jika urusan rumah tangga di rumah sempurna, kita akan datang ke lokasi dengan senang hati dan gembira. Tetapi, setakat ini, belum pernah saya melihat pelakon yang berjaya meninggalkan masalah mereka di rumah, kebanyakannya terbawa-bawa ke tempat kerja.

"Bagaimanapun, ia tidaklah menyebabkan saya takut mahu berkahwin. Cuma, saya tidak mahu perkara sedemikian mengganggu emosi saya ketika bekerja," katanya yang turut membintangi filem bertaraf mega, Juang arahan enam pengarah terkenal.

Berita Harian X