Isnin, 24 Ogos 2020 | 3:00pm
Tiz berpendapat peminat wajar mencuba keseronokan menonton filem di pawagam pandu masuk sebagai langkah menyesuaikan diri dengan norma baharu.
Tiz berpendapat peminat wajar mencuba keseronokan menonton filem di pawagam pandu masuk sebagai langkah menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Pawagam pandu masuk tarik peminat tersendiri

KUALA LUMPUR: Pembukaan panggung wayang pandu masuk, Casuarina Sini-Drive di Downtown Meru, Ipoh, Perak, bulan lalu, menarik minat ramai pencinta filem.

Ketika rakyat menyesuaikan diri dengan norma baharu berikutan pandemik COVID-19, pembukaan pawagam 'drive through' menjadi suatu tarikan, biarpun ada pihak berpendapat, kemudahan seumpama itu bersifat semusim dan tidak kekal.

Ketika ramai teruja mencuba, ada pihak enggan membazir wang, malah, tidak nampak keseronokan menonton filem dari dalam kereta yang sempit, berbanding keselesaan menonton filem atas talian sambil berbaring di sofa di rumah.

Jika penduduk Ipoh boleh mencuba panggung wayang pandu masuk yang diusahakan Perak Corporation Berhad (PCB), di ibu negara, Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction beroperasi di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang, sejak 29 Julai lalu.

Mengulas inisiatif diambil dua pengendali pawagam pandu masuk terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pihaknya menyambut baik pembukaan kemudahan seumpama itu yang dianggap projek kreatif dalam merancakkan industri filem.

"Mengenai pembukaan panggung wayang pandu masuk, saya tidak risaukan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana tontonan adalah dari dalam kereta.

"Saya percaya ketika ini, masyarakat sudah peka dengan soal keselamatan diri. Soal kemudahan ini bermusim atau tidak, bukanlah perlu diperbesarkan, malah, hakikatnya sangat subjektif.

Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction di MATIC, Jalan Ampang, dirasmikan akhir bulan lalu. Foto Ihsan Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction
Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction di MATIC, Jalan Ampang, dirasmikan akhir bulan lalu. Foto Ihsan Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction

"Apa yang lebih utama, kami di FINAS sentiasa terbuka dan menyokong apa sahaja inisiatif yang diambil oleh pemain industri kreatif tempatan," katanya kepada BH Online.

Ahmad Idham berkata, pengusaha mana-mana perniagaan pasti terdedah dengan pelbagai risiko dalam pelaburan dibuat.

"Namun, dalam soal kemudahan pawagam pandu masuk ini, pengalaman menonton filem melalui kaedah ini harus dirasai semua.

"Ada keseronokan dan keghairahan menonton wayang melalui cara begini. Apatah lagi menonton wayang dengan bertemankan pemandangan indah Menara Berkembar Petronas KLCC dan Menara Kuala Lumpur pada waktu malam," katanya yang turut hadir pada majlis pelancaran Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction pada 29 Julai lalu.

Ketika itu, filem Hollywood Legacy Of Lies dipilih sebagai pembuka tirai tayangan.

Baru-baru ini, BH Online berpeluang meninjau Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction di MATIC yang beroperasi di tapak berkenaan selama tiga bulan.

Projek ini adalah hasil kerjasama syarikat pengurusan acara, TwoSpicy Entertainment Live dan MD Events Asia.

Pemerhatian dibuat mendapati tapak berkenaan boleh memuatkan 50 kenderaan pada satu slot tayangan di mana pelanggan menonton filem melalui layar LED berukuran 4 meter x 9 meter yang ditegakkan di hadapan barisan kenderaan.

Mematuhi prosedur operasi standard (SOP), hanya dua penonton dibenarkan berada dalam sebuah kereta dengan suhu mereka diambil sebelum memasuki premis.

Malah, bagi mengurangkan risiko kontak dan kesesakan laluan, pembayaran tanpa tunai secara online disediakan dengan makanan dan minuman dihantar terus ke kereta penonton.

Pengarah TwoSpicy Entertainment Live, Arvin Randahwa, berkata sektor pengurusan acara, industri hiburan dan pelancongan terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

"Demi menyelamatkan pekerjaan dan menjana ekonomi, kami memutuskan mencipta semula produk agar sesuai dengan norma baharu.

"Kita juga membuka peluang pekerjaan melalui operasi pawagam pandu masuk ini," katanya,

Sementara itu, Pengarah MD Events Asia, Jack Gill, berkata pihaknya mengamalkan langkah kebersihan dan peraturan keselamatan yang ketat. Malah, brosur mengenai perkara yang boleh dilakukan dan ditegah, diedarkan kepada penonton.

"Sebagai penganjur acara yang bertanggungjawab, fokus kami adalah untuk memastikan pelanggan selamat.

"Kami juga mahu memastikan mereka melalui pengalaman yang baik ketika menonton filem di premis ini. Sebelum tayangan filem, penonton diberi peringatan apa yang boleh dilakukan dan sebaliknya," katanya.

Jack berkata, pihaknya juga menyokong pengurangan pelepasan karbon dioksida dengan membekalkan setiap kereta pembesar suara dan kipas mudah alih yang boleh dicas semula.

"Penganjur menggalakkan penonton mematikan enjin kereta dan penyaman udara sepanjang tayangan filem sebagai simbol komitmen kepada bumi.

"Fakta dan angka berkaitan pemanasan global juga ditayangkan sebelum filem bermula untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai isu itu," katanya.

Ketika tinjauan BH Online, beberapa artis seperti pelakon Tiz Zaqyah dan penyanyi kumpulan De Fam, Azira Shafinaz kebetulan menjadi antara pelanggan yang menikmati kemudahan itu.

Azira memberitahu, pengalaman menonton wayang melalui konsep pandu masuk cukup menyenangkan dan selesa.

"Kita hanya duduk dalam kereta. Pekerja juga sangat efisien. Mereka sediakan semua untuk kita. Hendak makan boleh pesan atas talian dan dihantar ke kereta," katanya.

Sementara itu, Tiz Zaqyah berpendapat pengalaman menggunakan kemudahan pawagam 'drive through' tidak sepatutnya dilepaskan.

"Ini suatu perkara baharu bagi saya untuk dicuba. Selama ini, kita hanya tahu mengenai pawagam pandu melalui pembacaan dan tontonan, sekarang kita dapat rasa sendiri.

"Namun, biar apa pun, SOP perlu dipatuhi," katanya.

Berita Harian X