Jumaat, 14 Ogos 2020 | 11:00am
Kaka Azraff ingin menambah tiga atau empat cahaya mata lagi, tak kisah hamil dalam masa terdekat. - Foto IG Kaka Azraff
Kaka Azraff ingin menambah tiga atau empat cahaya mata lagi, tak kisah hamil dalam masa terdekat. - Foto IG Kaka Azraff

Kaka mahu anak lagi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff, 31, tidak menolak untuk menimang cahaya mata lagi dalam masa terdekat.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dia merancang untuk memiliki tiga hingga empat cahaya mata.

"Saya tak kisah sekiranya diberikan rezeki mengandung lagi. Ini kerana saya bukannya makin muda, usia makin bertambah. Lagipun, takkan nak tunggu Aslan besar baru nak tambah anak.

"Bagaimanapun, saya dan suami tidak merancang, kami serahkan rezeki pada Allah. Kalau ada rezeki, kami terima. Suami pun terbuka soal ini," katanya kepada BH Online.

Kaka Azraff bahagia bersama suami dan anaknya. - Foto IG Kaka Azraff
Kaka Azraff bahagia bersama suami dan anaknya. - Foto IG Kaka Azraff

Tambah Kaka, dia lebih gembira dengan kehadiran cahaya mata pertamanya, Aslan Adam berusia setahun.

"Alhamdulillah, saya seronok melihat anak membesar depan mata. Walaupun kerja saya tidak menentu, ada kala hingga tengah malam baru datang idea, tetapi tidak mengapa, saya suka dengan kesibukan ini.

"Apabila saya menyanyikan single terbaharu, Gila, anak turut menari dan menyanyi bersama. Ia seperti memberi bayangan Aslan menyokong kerjaya muzik saya," katanya.

Terbaharu, Kaka tampil dengan single Gila berkolaborasi bersama bakat muda, Loca B dan Noki dari kumpulan K-Clique.

Single terbitan komposer, Ezra Kong itu dikatakan karya segar untuk industri muzik tempatan.

"Sudah lama saya berhasrat berkolaborasi dengan Loca B dan Noki. Apabila Warner Music mempunyai idea yang sama, lagilah saya gembira.

"Ia seperti impian menjadi realiti. Apabila pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, kami terus merealisasikan kolaborasi ini. Tidak hanya lagu, malah video muzik sudah siap dan dilancarkan serentak dengan lagu Gila pada 17 Ogos ini," katanya.

Selain itu, Kaka juga akan tampil dengan single solo yang usaha sama dengan komposer muda. Dalam masa yang sama, sedang mengumpul bahan untuk merealisasikan mini albumnya.

Dalam perkembangan lain, Kaka sibuk menguruskan restoran Warunk Koffie bersama suami dan keluarga mentua.

"Restoran diusahakan bersama keluarga mentua. Sekiranya tiada komitmen, saya akan berada di sana setiap hujung minggu. Kini, saya sibuk dengan perniagaan, muzik, dan tuntutan tugas sebagai isteri dan ibu," katanya.

Berita Harian X