Khamis, 13 Ogos 2020 | 11:00am
Ben Amir tidak pernah bersikap memilih media, sebaliknya tidak dapat menjawab mesej kerana terlalu sibuk. - Foto IG Ben Amir
Ben Amir tidak pernah bersikap memilih media, sebaliknya tidak dapat menjawab mesej kerana terlalu sibuk. - Foto IG Ben Amir

Ben Amir nafi 'besar kepala'

KUALA LUMPUR: Bukan berlagak sombong, sebaliknya pelakon yang popular melalui drama Sweet Dreams, Ben Amir, 30, mengaku sikapnya perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan orang lain.

Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin berkata, dia meletakkan 'dinding' dalam diri bukan disebabkan mahu bersikap kurang ajar, sebaliknya punya alasan tersendiri.

"Mungkin sesetengah orang suka dan mudah mesra, tetapi bukan saya. Memang diakui saya meletakkan 'dinding' di depan.

"Bagaimanapun, bukan bermakna saya bersikap kurang ajar. Jika orang melayan dengan baik, saya layan orang dengan lebih baik, tetapi sekiranya ada yang terlebih dulu bersikap kurang ajar, maaf saya tidak akan layan," katanya kepada BH Online.

Ben sedar dirinya dituduh sombong apabila enggan mengulas mengenai kru dan pelakon drama bersiri Demi dijangkiti COVID-19, beberapa bulan lalu.

Dalam drama itu, Ben yang menjadi antara pelakon utama, terbang ke Scotland untuk menjalani penggambaran ketika dunia mula bergelut dengan pandemik itu. Bagaimanapun, Ben bernasib baik apabila pulang lebih awal dan disahkan negatif.

Namun, pengarah, Rahila Ali dan pelakon iaitu Puteri Aishah, Ashraf Muslim, Puteri Rayyana Rayqa serta beberapa kru disahkan positif COVID-19 sejurus pulang ke tanah air pada 31 Mac lalu.

Ben Amir nafi menumpang populariti Mira Filzah apabila gandingan mereka menerusi drama Sweet Dreams menjadi fenomena. - Foto IG Ben Amir
Ben Amir nafi menumpang populariti Mira Filzah apabila gandingan mereka menerusi drama Sweet Dreams menjadi fenomena. - Foto IG Ben Amir

Menjelaskan mengapa dia enggan memberi komen mengenai isu COVID-19, Ben berkata, ketika itu, dia memerlukan masa dan menunggu semuanya reda.

"Disebabkan itulah saya mengelak mengeluarkan kenyataan. Bagaimanapun, jika membabitkan perkara lain, saya tiada masalah berkongsi.

"Saya tidak memilih media, sebaliknya ada masa, saya tidak menjawab pesanan kerana terlalu sibuk.

"Saya menerima puluhan mesej yang ada antaranya saya tidak sempat baca, setiap hari. Saya bukan memilih bulu. Cuma saya rasa kurang selesa berkongsi semua perkara.

"Saya tiada masalah memberi kerjasama dengan media, tetapi perlu berpada-pada. Jika membabitkan perkara terlalu peribadi, minta maaf saya tidak akan kongsi," katanya.

Pelakon drama Playboy Itu Suami Aku dan Suri Hati Mr Pilot itu berkata, dia tidak takut jika dirinya dipinggirkan.

"Terpulang kepada mereka... Apa yang lebih penting adalah kerjaya lakonan saya," katanya.

Selepas namanya semakin meniti di bibir peminat apabila digandingkan bersama Mira Filzah, timbul dakwaan bekas Hero Remaja 2012 semakin 'besar kepala' hingga ada antara produksi serik mengambilnya berlakon.

Namun, dakwaan itu disangkal jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ben berkata, tawaran lakonan masih melimpah ruah, cuma sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan, hampir enam bulan Ben tiada 'job'.

"Jika betul ada produksi tidak mahu mengambil saya kerana kononnya bersikap 'besar kepala', tentu tak ada langsung tawaran lakonan diterima.

"Lakonan adalah periuk nasi, tak mungkin saya mahu menjejaskan rezeki sendiri. Tak dinafikan, saya tidak menerima tawaran lakonan sejak Mac lalu.

"Saya yakin semua orang mengalami nasib sama, tetapi keadaan sudah kembali seperti biasa. Saya akan mula sibuk memasuki set penggambaran semula tidak lama lagi," katanya yang muncul menerusi filem televisyen (FTV) berjudul Aku, Bunga menerusi saluran Astro First, hari ini.

Anak keempat daripada lima adik beradik itu menyangkal dakwaan menumpang populariti Mira apabila namanya meniti di bibir peminat berbanding digandingkan dengan pelakon wanita lain.

"Bagi saya, ia berbalik kepada soal nasib. Mungkin drama ini disiarkan tepat pada masanya dan digandingkan pula dengan pelakon sokongan serta kru tepat. Ia bukan soal berlakon dengan siapa, baru drama akan melonjak.

"Saya tiada masalah berlakon dan digandingkan dengan pelakon wanita lain. Bagi saya, setiap pelakon memiliki keistimewaan dan kelebihan tersendiri," katanya.

Berita Harian X