Khamis, 23 Julai 2020 | 11:00am
Pansha menjelaskan pembikin filem boleh memanfaatkan geran membiayai kos promosi yang disediakan FINAS jika mahu menarik perhatian penonton sepanjang tempoh tayangan. Foto Ihsan PFM
Pansha menjelaskan pembikin filem boleh memanfaatkan geran membiayai kos promosi yang disediakan FINAS jika mahu menarik perhatian penonton sepanjang tempoh tayangan. Foto Ihsan PFM

'Filem dah siap, nak tayang risau pula'

KUALA LUMPUR: Pembikin filem tempatan masih bersikap berhati-hati dengan pasaran, malah mengikut jejak studio antarabangsa menangguhkan tayangan filem keluaran mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Lazimnya, empat judul filem tempatan ditayangkan setiap bulan, namun mulai akhir bulan ini, hanya sebuah filem Melayu akan memasuki pawagam.

Filem Shift Malam Raya yang meraih kutipan RM3 juta selepas 10 hari ditayangkan di saluran Astro First, bakal menjadi filem pertama yang menjengah panggung wayang.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha pula berkata, sambutan penonton terhadap filem Peninsula yang dilaporkan mengaut RM5 juta sejak ditayangkan minggu lalu, dianggap petunjuk pasaran filem masih baik.

Bagaimanapun, Pansha berkata, kebimbangan munculnya kluster baharu dan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dikhuatiri boleh menjejaskan pasaran filem.

"Kita bimbang pertambahan jumlah jangkitan dan kewujudan beberapa kluster baharu boleh menjejaskan perniagaan panggung wayang yang baru hendak rancak selepas hampir empat bulan tidak beroperasi.

Filem Bulan & Pria Terhebat terpaksa dihentikan tayangan selepas beberapa hari dilancarkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu. Foto IG Bulan & Pria Terhebat
Filem Bulan & Pria Terhebat terpaksa dihentikan tayangan selepas beberapa hari dilancarkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu. Foto IG Bulan & Pria Terhebat

"Situasi ini akan mempengaruhi kehadiran penonton terutama mereka yang berkeluarga yang enggan mengambil risiko berkunjung di tempat tumpuan ramai," katanya kepada BH Online.

Selain itu, kata Pansha, cuti sekolah pada akhir tahun yang disingkatkan kepada dua minggu boleh memberi kesan kepada kutipan tiket.

Pansha turut berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyediakan geran antara RM150,000 hingga RM300,000 bagi membantu pembikin filem membiayai kos promosi filem.

"Ini bencana tidak dapat dielak di seluruh dunia. Geran itu disediakan bagi membantu meringankan kos penerbit dalam mempromosi dan memasarkan filem.

"Geran itu dikhususkan kepada filem yang sudah mengeluarkan bajet untuk promosi terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Walaupun pendapatan melalui kutipan pawagam terjejas, kewujudan kemudahan On The Top (OTT) seperti saluran Astro First memberi kelegaan kepada penerbit filem.

Kejayaan filem Shift Malam Raya bagi PFM, memberi nafas baharu kepada penggiat filem.

"Sejak 2017, kebanyakan filem tempatan yang menjengah panggung wayang gagal meraih kutipan RM1 juta.

"Kewujudan OTT yang popular di luar negara termasuk di India, memberi pilihan kepada penerbit filem menayangkan buah tangan mereka di platform digital," katanya.

Selepas Shift Malam Raya, filem Roh dijangka menjengah pawagam pada 6 Ogos, diikuti Ada Apa Dengan Dosa, September depan.

Berita Harian X