Rabu, 22 Julai 2020 | 2:45pm
Sharnaaz mengulas mengenai perceraiannya dengan bekas isteri, Nabila melalui video dimuat naik di IGTV. Foto IG Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz mengulas mengenai perceraiannya dengan bekas isteri, Nabila melalui video dimuat naik di IGTV. Foto IG Sharnaaz Ahmad

Saya akan jadi bapa bertanggungjawab - Sharnaaz Ahmad

KUALA LUMPUR: "Mungkin saya bukan suami yang baik tetapi saya akan cuba menjadi bapa yang bertanggungjawab."

Itu luahan pelakon, Sharnaaz Ahmad mengulas perceraiannya dengan ahli perniagaan, Noor Nabila Mohd Noor secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 9 Julai lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan Sharnaaz dalam video sepanjang 6 minit 46 saat yang dimuat naik aktor itu di Instagram TV (IGTV), kira-kira sejam lalu.

Sharnaaz berkata, biarpun sudah berpisah Nabila yang juga kakak kepada pelakon dan pengacara, Neelofa, hubungan mereka masih baik.

Malah, tambah Sharnaaz, mereka berjanji membesarkan cahaya mata, Jebat Jayden yang bakal mencecah usia dua tahun, bulan depan.

"Memang benar kami sudah pun berpisah secara baik. Alhamdulillah, saya dan Nabila masih berkawan baik, berpisah pun secara baik.

"Kami sudah bermaaf-maafan. Saya tidak berdendam dengannya dan dia tidak ada ada-apa dendam dengan saya.

"Semua ini adalah ketentuan Allah. Kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan.

Sharnaaz dan Nabila bersama anak mereka, Jebat. Foto IG Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz dan Nabila bersama anak mereka, Jebat. Foto IG Sharnaaz Ahmad

"Tiada siapa kahwin untuk berpisah. Lagipun, kami sudah menjalani hidup seperti ini sudah bertahun lamanya. Lebih elok kita berpisah dan mencari jalan masing-masing untuk kebaikan bersama," katanya.

Sharnaaz atau nama penuhnya, Sharnaaz Basir Ahmad, 34, berkata, keutamaan mereka adalah untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik kepada Jebat.

"Saya tidak mahu dia rasa kehilangan seorang bapa. Walau sibuk atau sakit macam manapun, saya tetap berjumpa Jebat di rumah Nabila," katanya.

Sharnaaz berkata, Nabila memberi keizinan kepadanya melawat Jebat pada bila-bila masa tanpa syarat.

"Alhamdulillah, saya dapat pelepasan daripada Nabila untuk berjumpa Jebat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Saya anggap itu perkara yang baik. Justeru tiada sebab untuk saya menjadi bapa yang tidak bertanggungjawab.

"Saya kena ambil kesempatan itu untuk sentiasa berada di sisi Jebat. Insya-Allah, saya akan tetap berada di sisinya sehinggalah saya menutup mata," ujar pelakon filem Wangi ini.

Melalui penjelasannya itu, Sharnaaz memohon agar tidak diajukan soal mencari pengganti Nabila selepas ini.

"Jangan tanya saya bila hendak cari pengganti. Saya tidak fikir lagi dan tidak mahu fikir. Ada anak pun sudah cukup buat saya," katanya.

Sebelum mengakhiri video berkenaan, Sharnaaz sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada bekas isteri atas apa yang pernah dilalui sepanjang berumah tangga.

"Alhamdulillah, terima kasih atas segala memori. Selepas ini, kita fokus untuk membesarkan anak kita bersama-sama.

"Kepada semua pasangan di luar sana, semoga semua bahagia. Bagi yang ada suami atau isteri, jagalah mereka. Jangan jadi seperti saya," pesannya.

Selepas pasangan itu gagal mencari kesepakatan, Sharnaaz dan Nabila sah bercerai secara hakam pada 9 Julai lalu.

Mahkamah Syariah melalui Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mempunyai kuasa melantik dalam kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak iaitu dua penimbang tara (hakam) yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Sharnaaz dan Nabila berkahwin di Petaling Jaya, Selangor pada 31 Mac 2017.

Berita Harian X