Isnin, 20 Julai 2020 | 11:00am
Ahmad Idham menjelaskan banyak aspek mengenai panggung wayang pandu masuk perlu diperhalusi termasuk isu pelesenan. Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri
Ahmad Idham menjelaskan banyak aspek mengenai panggung wayang pandu masuk perlu diperhalusi termasuk isu pelesenan. Foto IG Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Pawagam pandu masuk diperhalusi

KUALA LUMPUR: Pembukaan panggung wayang pandu masuk, Casuarina Sini-Drive di Downtown Meru, Ipoh, Perak, minggu lalu, menarik minat ramai pencinta filem.

Mengapa tidak, ketika ini, semakin banyak pihak mula menyesuaikan diri dengan kehidupan normal baharu dalam aktiviti harian termasuk riadah, susulan pandemik COVID-19.

Pembukaan Casuarina Sini-Drive atas inisiatif Perak Corporation Berhad (PCB) menjadikan Perak negeri pertama di Malaysia yang melancarkan panggung wayang pandu masuk, yang suatu ketika dahulu, cukup popular di Amerika Syarikat (AS).

Mengulas aliran baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pihaknya sedang memperhalusi pelbagai perkara membabitkan panggung wayang pandu masuk terutama dalam aspek Lesen Pemameran Filem (EF).

"Pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat tidak lama lagi. FINAS mengkaji pelbagai aspek termasuk isu pelesenan dan penguatkuasaan dalam melaksanakan kemudahan baharu ini," katanya kepada BH Online.

Jumaat lalu, Perak menjadi negeri pertama di Malaysia melancarkan panggung wayang pandu masuk dikenali sebagai Casuarina Sini-Drive, di Ipoh.

Kemudahan yang terletak di Downtown Meru mempunyai kapasiti 70 kenderaan pada setiap sesi tayangan, yang dibangunkan PCB.

Ahmad Idham berkata, dua isu utama diteliti FINAS berhubung pembukaan panggung wayang pandu masuk.

"Dalam situasi pertama, kita melihat kewujudan pawagam pandu masuk sebagai platform 'merakyatkan' filem lama.

"Dalam hal ini, pihak yang mahu melaksanakannya perlu mendapat izin daripada pengeluar filem kerana membabitkan harta intelek (IP).

"Untuk perkara ini, kita tidak ada masalah untuk memberi sokongan. Kami alu-alukan usaha itu," katanya.

Ahmad Idham berkata, satu lagi aspek dikaji adalah tayangan filem semasa atau baharu yang terikat dengan lesen pawagam yang cukup ketat.

"Dalam hal ini, pengusaha perlu mendapat lesen pawagam yang cukup ketat untuk diperoleh dengan pelbagai kriteria perlu diteliti.

"Insya-Allah, kami akan umumkan butiran berkaitan EF dalam minggu ini," katanya.

Ahmad Idham berkata, perkara lain yang dititikberatkan adalah memastikan filem ditayangkan di persekitaran terbuka, tidak menjadi mangsa cetak rompak.

"Bayangkan filem yang ditayang di pawagam boleh dicetak rompak, bagaimana pula dalam keadaan menonton wayang dalam kereta?

"Apa sahaja kemungkinan boleh terjadi. Disebabkan itu, perkara berkaitan keselamatan kandungan filem ini amat dibimbangi.

"Kita kena fikir banyak aspek dalam melaksanakan tayangan filem mengikut konsep pandu masuk biarpun seiring dengan normal baharu kehidupan," katanya.

Tambah Ahmad Idham, ada beberapa pihak bertanya kepada FINAS mengenai pembukaan panggung wayang pandu masuk bagi tujuan 'merakyatkan' filem.

"Mereka mahu menganjurkan karnival di tanah lapang dengan menjual makanan dan menayangkan filem lama. "Kita alu-alukan mereka untuk berbincang dengan FINAS," katanya.

Ditanya mengenai lokasi pawagam pandu masuk yang dicadang dibuka, Ahmad Idham menjelaskan tiada lokasi spesifik dikemukakan.

"Ada yang merancang di kawasan terbuka. Tidak kurang juga stadium tertutup.

"Namun, faktor cuaca agak mencabar kerana negara kita panas dan lembap sepanjang tahun. Seperkara lagi, apakah enjin kereta dibiarkan hidup berjam-jam semata-mata kerana hendak menonton wayang?

"Jika mahu buat tayangan pada sebelah siang banyak aspek perlu difikirkan termasuk cuaca," katanya.

Ahmad Idham berkata, beliau tertarik melihat maklum balas industri filem di Dubai yang sudah membenarkan kemudahan panggung wayang pandu masuk beroperasi susulan COVID-19.

Ditanya mengenai komen netizen mengenai pelaksanaan pawagam pandu masuk mengundang maksiat, Ahmad Idham menganggap perkara seumpama itu tidak sepatutnya dibangkitkan.

"FINAS sentiasa berfikiran positif. Saya percaya masyarakat kita terbuka dan mengalu-alukan amalan normal baharu.

"Takkanlah hendak buat maksiat di tempat terbuka? Tepuk dada tanya iman.

"Saya percaya pelaksanaan panggung wayang pandu masuk disokong pemantauan pengendali yang akan mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika melancarkan Casuarina Sini-Drive mengaku beroleh idea membuka panggung wayang pandu masuk daripada pengalaman mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat penjarakan sosial.

Berita Harian X