Isnin, 13 Julai 2020 | 6:00pm
Siti Saleha kembali mencetuskan fenomena apabila drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang menggandingkannya dengan hero kegilaan ramai, Shukri Yahaya meraih perhatian ramai. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha kembali mencetuskan fenomena apabila drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang menggandingkannya dengan hero kegilaan ramai, Shukri Yahaya meraih perhatian ramai. - Foto IG Siti Saleha

Saleha tak gentar bersaing

KUALA LUMPUR: Ketika ada pihak menganggap graf lakonannya bergerak perlahan, aktres, Siti Saleha, 30, kebal dengan pendirian tidak memikirkan soal kuantiti, sebaliknya lebih mementingkan kualiti dalam setiap karakter dibawa.

Lebih 12 tahun mengabdikan diri dalam dunia lakonan, Siti Saleha kini semakin selektif dalam menimbang tawaran lakonan.

Tidak gentar bersaing, Siti Saleha yang dua kali meraih trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2013 dan 2014, teliti dalam mengatur strategi.

"Saya ambil tawaran berlakon ikut kualiti kerja. Memang tidak dinafikan saya senyap sedikit. Saya hanya sesekali saja muncul berlakon... Pada tahap sekarang, saya okay dengan cara begitu.

"Saya lebih selektif dan teliti dalam menimbang apa sahaja projek dalam sebarang platform. Seperti tahun lalu, buat kali pertama, saya cabar diri berlakon drama dalam talian Black melalui Viu Malaysia.

"Percaturan menjadi apabila skrip drama dalam talian itu cukup baik. Jadi, pilihan saya tepat kerana sedar hala tuju industri seni adalah digital, tidak semata-mata televisyen (TV)," katanya kepada BH Online.

Tanpa diduga, wanita kelahiran Basildon, England itu berkata, dia dimaklumkan produksi SR One Sdn Bhd yang mahu menerbitkan musim kedua drama 7 Hari Mencintaiku.

"Apabila mendapat panggilan produksi untuk meneruskan musim kedua drama itu, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju.

"Lagipun, karya yang dipersembahkan sejak musim pertama pada 2017 cukup bagus. Ini termasuk kualiti kerja produksi, jalan cerita dan watak menarik.

"Jadi, saya tak mahu ketinggalan meneruskan momentum hebat yang diraih sebelum ini," katanya.

Drama 7 Hari Mencintaiku 2 disiarkan melalui slot Akasia sejak 2 Julai lalu. Drama yang mencetuskan fenomena ini sekali lagi menyatukan Siti Saleha dengan hero kegilaan ramai, Shukri Yahaya.

Menerusi drama adaptasi novel judul sama arahan Jamal Khan itu, Siti Saleha menghidupkan watak Mia Adriana.

"Saya tiada masalah untuk membawa watak itu sekali lagi. Mia Adriana cukup dekat di hati saya. Jadi, saya boleh katakan, kesinambungan kali ini diteruskan dengan bersahaja.

"Apa yang saya bawa dalam musim pertama kembali meresap dalam jiwa untuk musim kedua ini. Saya tidak mengambil masa panjang untuk menyerap roh Mia Adriana.

"Lagipun, banyak klip babak watak itu dikongsi di laman sosial. Jadi, ia sedikit sebanyak memudahkan kelancaran kerja untuk komitmen ini," katanya.

Siti Saleha berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa, penggambaran yang bermula pertengahan Januari lalu, terpaksa dihentikan.

"Namun, sebaik kebenaran menyambung aktiviti penggambaran dikeluarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kita sambung 'shooting' sehingga selesai minggu lalu," katanya.

Berita Harian X