Isnin, 6 Julai 2020 | 6:29pm
Shukri Yahaya lega tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tidak dilanjutkan, jika tidak ia mungkin menjejaskan wang simpanan. - Foto IG Shukri Yahaya
Shukri Yahaya lega tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tidak dilanjutkan, jika tidak ia mungkin menjejaskan wang simpanan. - Foto IG Shukri Yahaya

Shukri bakal timang anak lelaki

KUALA LUMPUR: Biarpun bukan kali pertama menimang cahaya mata, namun pelakon popular, Shukri Yahaya, 32, tetap teruja menyambut kelahiran anak kedua yang menunggu hari untuk dilahirkan.

Pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu sudah merancang mengambil cuti selama seminggu bagi memberi tumpuan kepada isteri, Tya Adnan yang akan melalui tempoh berpantang bersama bayi mereka.

Biarpun sudah dikurniakan permata hati, Aira Ameena yang kini berusia empat tahun, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu tak sabar menanti 'orang baru', lebih lagi dijangka menyambut anak lelaki.

"Persiapan menyambut kelahiran anak kedua sudah siap dibuat memandangkan isteri kini hanya menunggu masa bersalin sahaja.

"Alhamdulillah, isteri tak berdepan alahan teruk untuk kandungan kedua ini. Cuma, dari sudut emosi itu biasalah, tetapi berjaya ditangani dengan baik.

"Walaupun mempunyai Aira Ameena, saya teruja menyambut kelahiran anak kedua. Lagipun, kami dijangka menimang cahaya mata lelaki, jadi perasaan lain macam sedikit. Insya-Allah, saya akan mengambil cuti selama seminggu apabila isteri bersalin. Nama anak pun sudah dipilih, tetapi kami akan umumkan apabila bersedia untuk berkongsi gambarnya nanti," katanya kepada BH Online.

Shukri yang baru selesai menjalani penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2 tidak sabar menantikan maklum balas peminat menerusi drama yang menggandingkannya bersama Siti Saleha.

Gandingan Shukri Yahaya dan Siti Saleha menerusi 7 Hari Mencintaiku musim pertama pernah mencetuskan fenomena dan memenangi beberapa anugerah.
Gandingan Shukri Yahaya dan Siti Saleha menerusi 7 Hari Mencintaiku musim pertama pernah mencetuskan fenomena dan memenangi beberapa anugerah.

Namun, pada masa sama, pelakon yang menempa populariti menerusi drama Dia Isteri Luar Biasa dan Andainya Takdir itu berdebar mampukah drama yang sedang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3 itu memberi impak sehebat musim pertama? Ini kerana seakan menjadi 'sumpahan' apabila sekuel sesebuah drama lazimnya kurang menjadi.

Bagaimanapun, Shukri berkata, dia yakin dengan kekuatan jalan cerita musim kedua, drama arahan Jamal Khan itu akan disambut baik.

"Bukan saya sahaja tetapi boleh dikatakan semua yang terbabit tertekan apabila penerbit dan stesen televisyen meletakkan sasaran untuk drama ini. Sebelum ini, ramai yang beranggapan, kebiasaan musim kedua kurang menjadi.

"Bagaimanapun, saya percaya jarak tiga tahun antara musim pertama dengan kedua mungkin penonton tidak akan membandingkan mana lebih bagus.

"Jika boleh, tentulah kami mahu drama musim kedua ini berjaya seperti musim pertama. Sebab itu, kami sangat berhati-hati. Saya terpaksa menonton semula drama musim pertama supaya karakter Khuzairi tidak lari.

"Begitu juga dengan pelakon lain. Jika ragu-ragu, kami akan merujuk video terdahulu. Maklum sahaja, jarak tiga tahun bukan sekejap dan pelbagai karakter berbeza kami sudah bawakan sepanjang tempoh berkenaan. Jadi, kami perlu mengkaji semula karakter supaya berjaya menjiwai kembali watak dibawakan," katanya.

Berkongsi pengalaman kembali semula ke lokasi penggambaran selepas empat bulan tertangguh akibat pandemik COVID-19, Shukri berkata, pelakon dan tenaga produksi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, suhu badan diambil setiap kali masuk ke lokasi dan cecair pembasmi kuman turut disediakan.

Disebabkan empat bulan kerjaya lakonan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shukri berkata, dia terpaksa menyusun semula jadual lakonan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan. Tidak kurang juga ada antara projek senyap tanpa sebarang khabar berita.

Jadi, katanya, dia terpaksa menerima tawaran lain yang datang demi menjaga periuk nasi.

Pelakon Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32 itu berkata, dia bersyukur memiliki wang simpanan, malah hanya bergantung dengan simpanan untuk meneruskan kehidupan ketika PKP.

"Saya lega apabila tempoh PKP tidak dilanjutkan. Jika dilanjutkan hingga enam bulan, ia mungkin akan menjejaskan wang simpanan.

"Mujurlah saya beringat untuk menyimpan. Jika tidak, tentulah kehidupan terjejas kerana punca pendapatan tiada. Isteri pula memiliki sendiri, jadi tidaklah terlalu perit sepanjang PKP.

"Tidak dinafikan, agak leceh bekerja dalam keadaan mematuhi SOP dan berjaga-jaga, tetapi tidak mengapa, asalkan ada pendapatan yang masuk," katanya.

Berita Harian X