Jumaat, 3 Julai 2020 | 11:09pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah membeli tiket filem 'Mencari Rahmat' secara atas talian sambil dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas Yeoh Oon Lai pada Program Lawatan Kerja di Pawagam TGV Sunway Velocity, Cheras. NSTP/Aizuddin Saad

Kerajaan komited bantu kru belakang tabir

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited membantu sektor perfileman yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 dengan fokus utama diberi kepada kru belakang tabir.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata selain inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerjasama syarikat produksi juga diperlukan bagi memastikan nasib kru terbela.

"Lapan puluh peratus daripada penggiat industri perfileman adalah pekerja belakang tabir seperti pengarah, jurukamera, penulis skrip, jurugegas dan penyedia makanan.

"Untuk tempoh enam bulan akan datang, penerbit perlu lebih proaktif untuk menghasilkan lebih banyak karya kerana dengan cara itu, ia membuka peluang pekerjaan.

"Jangan fikir hendak menghasilkan satu telefilem sahaja. Kalau satu telefilem boleh ambil tempoh 10 hari, mungkin boleh buat tiga judul yang boleh disiapkan dalam tempoh 30 hari.

SAIFUDDIN diperiksa suhu sebelum memasuki ruang dewan untuk menonton filem 'Mencari Rahmat' pada Program Lawatan Kerja di Pawagam TGV Sunway Velocity, Cheras. NSTP/Aizuddin Saad
SAIFUDDIN diperiksa suhu sebelum memasuki ruang dewan untuk menonton filem 'Mencari Rahmat' pada Program Lawatan Kerja di Pawagam TGV Sunway Velocity, Cheras. NSTP/Aizuddin Saad

SAIFUDDIN mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menonton filem 'Mencari Rahmat' pada Program Lawatan Kerja di Pawagam TGV Sunway Velocity, Cheras. NSTP/Aizuddin Saad
SAIFUDDIN mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menonton filem 'Mencari Rahmat' pada Program Lawatan Kerja di Pawagam TGV Sunway Velocity, Cheras. NSTP/Aizuddin Saad

"Jumlah jam kerja yang panjang adalah penting untuk beri peluang pekerjaan kepada kru belakang tabir," katanya selepas melawat TGV Cinemas di sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengerusi TGV Cinemas, Shaharul Rezza Hassan.

Mengenai operasi pawagam, Saifuddin meminta 'kaki wayang' terus memberi sokongan kepada panggung wayang yang dibenarkan beroperasi semula, Rabu lalu.

"Perkara ini berangkai kerana membabitkan banyak pihak. Jika penonton tidak datang ke pawagam, bagaimana pengusaha pawagam hendak bantu penerbit filem.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pawagam dan kerajaan tidak menerima laporan negatif.

"Sehubungan itu, penonton tidak perlu risau dengan keselamatan kerana SOP yang diamalkan cukup ketat," katanya.

Berita Harian X