Sabtu, 20 Jun 2020 | 8:30am
Zain Saidin kena menjaga pemakanan kerana bacaan kolestrol tinggi dan boleh mengakibatkan penyakit lain - Foto Zaidi Mohamad
Zain Saidin kena menjaga pemakanan kerana bacaan kolestrol tinggi dan boleh mengakibatkan penyakit lain - Foto Zaidi Mohamad

Zain masuk hospital lagi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zain Saidin sekali lagi dikejarkan ke sebuah pusat perubatan selepas sakit bahagian belakang pada Selasa lalu.

Minggu lalu, Zain dimasukkan ke hospital akibat jangkitan pundi kencing. Terbaharu, suami kepada Rozita Che Wan itu dimasukkan ke pusat perubatan yang sama akibat sakit bahagian belakang yang dipanggil 'thinning disc'.

"Sangka saya sakit sebelum ini akibat jangkitan pundi kencing yang memberi kesan di bahagian belakang badan. Tekaan saya meleset. Selepas pulih pada bahagian pundi kencing, saya mula terasa sakit pada bahagian belakang.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu ia bukanlah penyakit kronik dan masih pada peringkat awal. Saya rasa ia juga mungkin kesan mengangkat berat ketika melakukan senaman di gimnasium.

"Sakit akan terasa ketika tengah rukuk waktu bersolat. Begitu juga jika saya kerap bangun dan duduk. Doktor beritahu ia sesuatu yang normal dan belum sampai ke tahap 'slip disc'," katanya kepada BH Online.

Zain berkata, dia juga kena menjaga pemakanan, apatah lagi tidak boleh makanan yang mengandungi kolestrol tinggi.

"Saya tak boleh makan makanan tinggi kolestrol seperti kandungan pelbagai minyak, cheese dan mentega.

"Saya kena menjaga pemakanan sebab bacaan kolestrol saya tinggi. Bimbang pula jika tidak dijaga boleh menyerang jantung.

"Saya kena pilih makanan yang rendah kolestrol," katanya.

Berita Harian X