Khamis, 18 Jun 2020 | 6:21pm
Nurhalim Ismail disahkan menghidap kanser paru-paru sejak minggu pertama Aidilfitri. - Foto Facebook Nurhalim Ismail
Nurhalim Ismail disahkan menghidap kanser paru-paru sejak minggu pertama Aidilfitri. - Foto Facebook Nurhalim Ismail

Nurhalim derita kanser paru-paru tahap empat

KUALA LUMPUR: Pengarah, Nurhalim Ismail, 63, kini berada dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, Selangor pada pagi Selasa lalu.

Anaknya, Lia Juliana, 29, bapanya yang disahkan menghidap kanser paru-paru sejak minggu pertama Aidilfitri, baru-baru ini ditempatkan di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya dan berada dalam pengawasan.

"Selain kanser paru-paru, abah ada masalah jantung yang perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan air daripada jantung. Rawatan kimoterapi untuk kanser hanya boleh dilakukan selepas keadaan jantung stabil.

"Alhamdulillah, berkat doa semua, pembedahan jantung yang dilakukan di Hospital Serdang dipermudahkan dan kini, ditempatkan semula di IKN Putrajaya untuk pemantauan rapi kanser paru-paru.

"Ada penambahbaikan selepas pembedahan, abah sudah mula beri tunjuk balas. Namun, keadaannya masih lemah tetapi stabil dan masih perlukan bantuan oksigen buat masa sekarang," katanya kepada BH Online.

Disebabkan itu, anak sulung daripada tiga beradik itu menambah, doktor perlu mengawasi keadaan jantung hingga stabil sebelum memulakan rawatan seterusnya.

"Mohon maaf abah tidak boleh terima pelawat bagi mengelakkan sebarang jangkitan daripada luar. Doktor juga perlu menggelakkan abah demam dan sebarang komplikasi lain.

"Saya mohon teruskan mendoakan abah dipermudahkan rawatan kansernya. Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik semua yang membantu mendoakannya," katanya.

Lia berkata, buat masa ini, bapanya tidak dapat meneruskan penggambaran drama bersiri berjudul Kalung terbitan syarikatnya sendiri, Nur TV Productions untuk siaran RTM dan ia bakal disambung oleh pengarah lain.

Terdahulu, pada malam 15 Jun lalu, Lia memuat naik status memohon orang ramai mendoakan kesihatan pengarah drama Di Halaman Rindu itu menerusi akaun Facebook Nurhalim Ismail.

"Ayah kini sedang bertarung menghidap kanser paru-paru tahap empat. Kami sekeluarga ingin mohon semua pihak mendoakan dan membuat solat hajat agar urusan pembedahan jantung selamat dan dipermudahkan.

"Mohon ampun maaf dan halalkan makan minum ayah sepanjang hidup dan terima kasih pada mereka yang pernah membantu, berjuang bersama beliau. Terima kasih semua," tulisnya.

Nurhalim, antara penggiat seni yang bertanggungjawab dalam penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama Dr Mahadi J Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Kamal Ishak, Othman Zainuddin dan M Yusof Mohamad.

Berita Harian X