Selasa, 16 Jun 2020 | 1:00pm
Kehidupan Enot kini bertambah ceria dengan kehadiran cucu sulung, Rebecca Riana yang kini berusia dua bulan. - Foto Instagram Enot
Kehidupan Enot kini bertambah ceria dengan kehadiran cucu sulung, Rebecca Riana yang kini berusia dua bulan. - Foto Instagram Enot

'Malas serabut kepala fikir soal jodoh' - Enot

KUALA LUMPUR: Selagi ada kudrat dan ruang mencari rezeki, pelakon, pelawak dan ahli perniagaan, Enot tak betah duduk diam tanpa melakukan kerja.

Sejak lebih 10 tahun, Enot memilih meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga apa sahaja yang boleh menambah punca pendapatan.

"Ada yang tanya saya berniaga apa sebenarnya? Ikutkan saya jual daripada makanan sampailah produk kesihatan dan kecantikan. Saya tak ada spesifik.

"Alhamdulillah, rezeki ada sahaja dengan berniaga. Tak banyak, sikit pun sudah memadai untuk saya meneruskan hidup sebagai ibu tunggal.

"Macam sekarang, saya berniaga dari rumah di Keramat. Saya pun tak kemaruk bantuan ketika pandemik COVID-19 ini. Kalau ada... adalah. Tak ada, saya percaya rezeki bantuan untuk orang yang lebih memerlukan," katanya kepada BH Online.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hingga fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah tidak terkesan kerana kehidupannya berlangsung seperti biasa.

"Perancangan nak fokus berniaga dari rumah, tahun ini. Saya nak elak keluar berjalan sangat mempromosikan barangan seperti tahun sebelumnya.

"Tak sangka diuji dengan COVID-19 hingga perlu dihadkan pergerakan. Dari awal PKP, saya fokus berniaga sambal ikan bilis dan daging dendeng. Masuk bulan puasa, saya fokus berniaga biskut, kek dan hamper raya. Sekarang, saya kembali berniaga pemanis mulut dan kek. Pada masa sama, saya selit jual pelbagai produk.

"Saya dibantu anak kedua dan sepupu di rumah. Masa PKPB, saya sampai terpaksa guna dua pekerja untuk membantu urusan di rumah. Kalau berniaga memang tak boleh putus usaha. Tak usaha mana rezeki nak datang?," katanya.

Mengenai bantuan, pelakon drama Mat Despatch ini mengakui ada menerima sumbangan barangan daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Seniman Malaysia.

"Didie Alias pun ada beri sumbangan kepada saya. Bayangkan pada satu tahap, kampit beras penuh di rumah. Sampai saya terpaksa menolak bantuan kerana tak mahu membazir," katanya.

Dalam pada itu, Enot berkata, kehidupannya kini bertambah ceria dengan kehadiran cucu sulung, Rebecca Riana berusia dua bulan.

"Memang kalau boleh tiap hari nak gomol cucu. Sesekali anak pertama saya bersama suaminya yang tinggal di Cyberjaya akan bawa cucu ke rumah," katanya.

Diusik dengan persoalan pengganti, Enot yang pernah dua kali berkahwin mengakui malas memikirkan soal jodoh. Kali pertama bercerai pada 2007, diikuti 2013.

"Memang tak terfikir pun. Malas nak serabut kepala," katanya.

Berita Harian X