Ahad, 14 Jun 2020 | 3:00pm
Fadlan Hazim panik apabila mengalami demam berterusan dua minggu sebelum menyambut Aidilfitri. - Foto Instagram Fadlan Hazim
Fadlan Hazim panik apabila mengalami demam berterusan dua minggu sebelum menyambut Aidilfitri. - Foto Instagram Fadlan Hazim

Fadlan tak beraya akibat demam denggi

KUALA LUMPUR: Kali pertama menyambut Aidilfitri seorang diri, pelakon, Fadlan Hazim, 28, mengelak bertemu keluarganya berikutan mengalami demam selama lebih dua minggu.

Bersyukur ia bukan simptom disebabkan jangkitan COVID-19, Fadlan berkata, pada awalnya, dia risau dijangkiti virus berkenaan.

"Saya mengalami demam sejak dua minggu sebelum Aidilfitri. Ia tidaklah berterusan, tetapi tidak kebah selama dua minggu. Saya sememangnya panik apabila demam pada waktu pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, kalau ikutkan, saya keluar rumah menggunakan pelitup muka dan mengelak memegang, cuma ada satu masa mengisi minyak, saya perlu memegang pam minyak.

"Saya mula berfikiran saya dijangkiti daripada situ. Saya makan panadol, tetapi demam tidak kebah dan terus ke klinik. Doktor berikan antibiotik, tetapi apabila ubat habis dimakan, demam tidak kebah juga," katanya kepada BH Online.

Kemudian, pelakon filem Sangkar itu membuat keputusan untuk ke hospital menjalani ujian darah.

"Selepas membuat ujian darah, saya disahkan demam denggi. Lega juga diberitahu, tetapi demam denggi pun bahaya juga.

"Ujian darah saya mengambil masa dua hari dan jujurnya, itu adalah dua hari yang paling lama dalam hidup saya. Saya tidak boleh tidur memikirkan keputusan ujian," katanya.

Walaupun bebas jangkitan COVID-19, Fadlan tetap bimbang kerana kebarangkalian untuk dijangkiti virus berkenaan tinggi disebabkan sistem imunisasi yang lemah.

"Disebabkan demam denggi, saya masih perlu berjaga-jaga dalam tempoh 30 hingga 60 hari kerana sistem imunisasi saya lemah. Jadi, saya mudah mendapat jangkitan penyakit.

"Saya langsung tidak keluar rumah ketika demam, malah menyambut Aidilfitri berseorangan. Saya menghubungi keluarga menerusi aplikasi FaceTime sahaja.

"Bohonglah tidak sedih, tambah lagi apabila mendengar takbir raya. Masjid pula berdekatan dengan rumah saya. Ini kali pertama saya berjauhan dan tidak menyambut raya dengan keluarga.

"Selepas dua minggu, baru saya berani berjumpa dengan keluarga. Saya tak mahu kerana saya, keluarga saya dijangkiti," katanya.

Bagaimanapun, Fadlan berkata, dia kini bertambah sihat dan sudah kembali memulakan penggambaran.

"Macam mana sekalipun saya kena kembali bekerja. Sebenarnya penggambaran drama Dia Bukan Bidadari sudah dimulakan dan setakat ini, saya lihat syarikat produksi mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

"Sebelum masuk ke penggambaran, semua membuat ujian saringan dan setakat ini, Alhamdulillah, semuanya negatif COVID-19. Disebabkan itu, saya percaya untuk kembali bekerja.

"Bagaimanapun, dalam masa yang sama, saya lebih banyak mengasingkan diri kerana sistem imunisasi saya masih lemah," katanya.

Berita Harian X