Ahad, 14 Jun 2020 | 11:00am
Azza tidak sabar kembali beraksi dalam dua drama sebaik penggambaran bermula, tidak lama lagi. Foto IG Azza Zawari
Azza tidak sabar kembali beraksi dalam dua drama sebaik penggambaran bermula, tidak lama lagi. Foto IG Azza Zawari

Rezeki Azza mencurah selepas PKPP

KUALA LUMPUR: Berkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Azza Zawari ditawarkan membintangi beberapa drama ketika semua pihak berusaha mengukuhkan ekonomi akibat penularan COVID-19.

Azza yang rindu beraksi di depan kamera memberitahu, dia akan berlakon dalam drama Juliet terbitan Zeel Production dan Perempuan Tanpa Dosa arahan Michael Ang.

"Tidak sangka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPP, saya dihujani tawaran berlakon.

"Rahmat Allah itu luas... Dapatlah membantu ekonomi keluarga selain emak dan ayah di kampung," katanya kepada BH Online.

Bekas anggota kumpulan Elite ini memberitahu, selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza (GV), dia lebih banyak menerima tawaran menjadi pengacara.

"Sekarang, apabila melihat teman sezaman masih aktif berlakon, saya tidak mahu terlepas peluang.

"Apatah lagi, dalam keadaan kita berdepan penularan COVID-19, usaha membuka kiosk perniagaan tidak sesuai," katanya yang sempat membintangi drama Syurga Untukmu, Februari lalu untuk slot Samarinda TV3.

Kemeriahan majlis pernikahan Elly, akhir tahun lalu, di mana Azza menjadi antara pengapit atau ‘Dulang Girls’ membuka hati bekas anggota kumpulan Elite ini untuk aktif semula dalam dunia lakonan. Foto IG Azza Zawari
Kemeriahan majlis pernikahan Elly, akhir tahun lalu, di mana Azza menjadi antara pengapit atau ‘Dulang Girls’ membuka hati bekas anggota kumpulan Elite ini untuk aktif semula dalam dunia lakonan. Foto IG Azza Zawari

Menurut isteri kepada Azlan Zuhaily ini, keinginan kembali memeriahkan persada seni memuncak selepas menjadi pengapit pada majlis pernikahan Elly Mazlein, akhir tahun lalu.

"Majlis itu mendapat liputan meluas. Saya yang menjadi 'Dulang Girls' turut menerima tempiasnya.

"Ketika itulah saya terfikir, saya perlu kembali berlakon.

"Saya nampak sedikit sebanyak impak dunia lakonan dalam menarik perhatian peminat kepada perniagaan," katanya yang aktif menjual kaftan dan tudung jenama Bidadari.

Berita Harian X