Rabu, 10 Jun 2020 | 6:15pm
Biarpun keputusan sukar, apatah lagi memikirkan perasaan dua anggota UNIC, Fakhrul dan Bazli, Najdi (tengah) akhirnya bulat dengan keputusan undur diri.
Biarpun keputusan sukar, apatah lagi memikirkan perasaan dua anggota UNIC, Fakhrul dan Bazli, Najdi (tengah) akhirnya bulat dengan keputusan undur diri.

Najdi keluar UNIC

KUALA LUMPUR: Selepas empat tahun bersama kumpulan nasyid UNIC, salah seorang anggotanya, Wan Najdi Wan Mohd Noh atau Najdi membuat keputusan mengundurkan diri.

Biarpun keputusan sukar dilakukan, apatah lagi perlu memikirkan perasaan dua anggota UNIC, Fakhrul dan Bazli, Najdi akhirnya nekad dengan keputusan dibuat.

"Saya sudah memaklumkan keputusan kepada Fakhrul dan Bazli, cuma mereka belum memberi maklum balas.

"Mungkin ada pihak anggap keputusan ini tak matang dan mementingkan diri, tetapi saya tak boleh terus halang orang melemparkan anggapan. Ini mengenai keputusan hidup dan kebahagiaan saya.

"Sudah lama saya mempertimbangkan hal ini. Hanya sekarang ada kekuatan berbuat demikian. Saya harap keputusan ini dihormati," katanya yang turut memaklumkan pengunduran diri dalam laman Instagram.

Najdi berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi detik paling getir, sekali gus membulatkan keputusan yang dibuat.

"Isteri bekerja sebagai doktor untuk pasukan barisan hadapan. Sebelum wabak COVID-19, ada masanya kami terpaksa bekerja pada waktu malam. Pernah juga bergaduh manja apabila berdepan situasi sebegini.

"Kami cuba mencari jalan penyelesaian dengan mengambil pembantu rumah, bagaimana ada yang melarikan diri. Anak sudah masuk tiga orang.

"Tempoh PKP menjadi ruang untuk saya berfikir panjang. Perlu ada pengorbanan biarpun pahit untuk dilakukan. Saya utamakan keluarga melebihi segala-galanya," katanya kepada BH Online.

Ketika ini, Najdi belum memikirkan pekerjaan lain sebagai ganti. Sepanjang bersama UNIC, banyak kejayaan diraih termasuk menjadi finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) dan menjuarai pertandingan Gema Gegar Vaganza.

Dalam tempoh empat tahun, Najdi pernah berselisih faham dengan anggota lain dan membuat keputusan menarik diri bersama UNIC pada awal 2018. Bagaimanapun, mereka masih kekal bersama.

Sementara itu, Fakhrul mewakili UNIC berkata, dia menghormati keputusan Najdi.

"Keputusannya kami hormati. Kami mendoakan Najdi terus berjaya dengan apa sahaja yang dilakukan.

"Setakat ini, perjuangan UNIC diteruskan bersama saya dan Bazli," kata Fakhrul.

Berita Harian X