Isnin, 8 Jun 2020 | 8:30am
Zain berjanji tidak mahu berlengah-lengah lagi dalam soal kesihatan. Foto Ihsan Zain Saidin
Zain berjanji tidak mahu berlengah-lengah lagi dalam soal kesihatan. Foto Ihsan Zain Saidin

Zain Saidin masuk hospital

KUALA LUMPUR: Zain Saidin, 36, dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di sini, kelmarin, akibat jangkitan pundi kencing.

Bagaimanapun, Zain yang juga suami kepada Rozita Che Wan atau Che Ta, memaklumkan dirinya, stabil.

"Saya mula sakit pada pinggang hingga ke belakang badan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika itu, saya fikir, mungkin boleh berjumpa doktor selepas tamat PKP.

"Namun, sangkaan saya meleset. Pagi Sabtu lalu, saya bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan ditahan di wad," katanya kepada BH Online.

Zain berkata, dia tidak mahu lagi berlengah-lengah jika membabitkan soal kesihatan.

"Takut dibiar lama nanti timbul komplikasi lain pula. Saya stabil setakat ini... Alhamdulillah," katanya.

Tambah pelakon sitkom Oh My English! itu, kali terakhir dia dimasukkan ke hospital, kira-kira lima tahun lalu kerana pembedahan lutut.

"Selain itu, doktor beritahu bacaan kolestrol saya tinggi. Jika diikutkan sejarah keluarga, kami sering berdepan masalah ini. Jadi, perkara itu bukanlah pelik," katanya.

Zain, Che Ta dan puteri kesayangan mereka, Aaisyah mengabadikan kenangan pada Aidilfitri. Foto IG Rozita Che Wan
Zain, Che Ta dan puteri kesayangan mereka, Aaisyah mengabadikan kenangan pada Aidilfitri. Foto IG Rozita Che Wan

Bapa kepada Aaisyah Dhia Rana ini sedar sakit tidak pernah mengenal usia.

"Dahulu, firasat saya, sakit akan datang ketika berusia. Saya anggar pada usia 40 tahun, kalau sakit kita sakit, ia normal.

"Tetapi, apabila sudah jatuh sakit sekarang, saya anggap ia suatu peringatan untuk kita berjaga-jaga. Walaupun saya aktif bersenam, kalau hendak sakit, ia akan datang.

"Jika kita sakit, duit banyak pun tidak memberi makna. Sebab itulah ada pepatah berbunyi mencegah itu lebih baik daripada mengubati," katanya.

Berita Harian X