Isnin, 18 Mei 2020 | 11:00am
Mimi Ernida menyingsing lengan membantu ibunya memasak serunding berikutan menerima tempahan luar jangkaan. - Foto Instagram Mimi Ernida
Mimi Ernida menyingsing lengan membantu ibunya memasak serunding berikutan menerima tempahan luar jangkaan. - Foto Instagram Mimi Ernida

Niaga serunding air tangan ibu

KUALA LUMPUR: Sembilan daripada 10 hasil sumber rezeki datangnya daripada perniagaan. Jadi, tidak hairan ramai golongan selebriti mula berniaga, terutama pada saat tiada punca pendapatan akibat wabak COVID-19.

Senario ini bukan asing lagi, malah golongan selebriti sanggup menyingsing lengan berniaga bagi mencari rezeki sejak kerja lakonan mahupun nyanyian terhenti.

Tidak kecuali pelakon filem Polis Evo, Mimi Ernida. Lebih lagi, dilahirkan dalam keluarga yang mengusahakan berniaga makanan.

Sebelum ini, Mimi atau nama sebenarnya, Nor Shamimi Ernida Mansor menjual laksa menerusi media sosial selepas beberapa bulan tiada tawaran lakonan. Mimi juga pernah berniaga teh ais cincau di kampungnya di Alor Setar, Kedah.

Terbaru, pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Alamak Toyol pada 2011 itu menjual serunding ayam dan daging, resipi turun temurun dan air tangan ibunya.

"Saya mengusahakan perniagaan serunding ini bukan disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya sudah merancangnya sejak Februari lalu.

"Apabila timbul berita mengatakan PKP akan dilaksanakan, saya bergegas pulang ke Alor Setar. Lagi pun, saya sudah berjanji dengan mama dan abah mahu menyambut Ramadan bersama mereka.

"Jadi, sudah alang-alang berada di sini, saya cuba komersial perniagaan serunding yang dihasilkan mama. Atas sebab tempoh PKP juga, saya berniaga mahu mencari duit belanja," katanya kepada BH Online.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi program realiti, Gadis Melayu musim ketiga itu berkata, dia tidak menyangka perniagaan serunding mendapat sambutan di luar jangkaan.

"Mulanya, saya bertanya pada mama terlebih dahulu, adakah dia larat nak buat serunding apabila saya mahu menjualnya di laman sosial. Memasak serunding renyah dan rumit, tetapi saya, abah dan adik beradik lain turut membantunya.

"Akhirnya, mama bersetuju. Selama ini air tangan mama hanya dirasai kami sekeluarga dan sanak saudara. Saya sendiri mengakui kelazatan serunding masakan mama," katanya.

Mimi berkata, dia memilih melakukan penghantaran melalui bas untuk urusan jualan di ibu kota. Dan ibu saudaranya mengambil tanggungjawab penghantaran kepada pelanggan.

Berita Harian X