Ahad, 17 Mei 2020 | 8:30am
Azrel Ismail terpaksa mengeluarkan duit simpanan selepas terputus sumber pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Azrel Ismail
Azrel Ismail terpaksa mengeluarkan duit simpanan selepas terputus sumber pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Azrel Ismail

Azrel terima tempias kontroversi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Azrel Ismail, 36, turut menerima tempias apabila drama Korban Kasih arahan Pali Yahya mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

Watak pasangan kembar Jalil dan Jamil yang digambarkan menuntut di sekolah menengah lakonan Azrel dan Saharul Ridzwan hangat dipersoalkan. Netizen mempertikaikan kenapa watak pelajar tidak dibawa pelakon lebih muda yang sesuai dengan usia penuntut sekolah.

"Bagi saya, pada akhirnya baik atau buruk, ia tetap menjadi publisiti. Saya hanya melihatnya dari sudut positif. Saya lihat di sebalik kecaman teruk, ramai yang mula menyukai drama terbitan Mache All Star United Sdn Bhd.

"Drama Korban Kasih sarat dengan isu kekeluargaan. Saya dengar ada peminat yang tidak sempat menonton pada waktu siaran rela menunggu ketika ulangan pada sahur," katanya kepada BH Online.

Azrel berkata, dia dan pelakon lain memulakan penggambaran blok kedua terlebih dahulu iaitu ketika zaman selepas sekolah.

"Ia diikuti dengan penggambaran blok pertama ketika menjadi pelajar sekolah. Sebagai pelakon, kami cuba menyesuaikan diri," katanya yang memegang watak Jamil yang juga kembar Saharul.

Mengulas terputus pendapatan dan hanya bergantung simpanan ketika kerja penggambaran dihentikan, Azrel berkata, dia banyak memanfaatkan masa dengan berehat di rumah.

Katanya, dua penggambaran drama, Bicara Cinta untuk slot Akasia TV3 dan Halimah Halimah (Osem TV) terpaksa ditangguhkan.

"Mengikut anggaran, penggambaran dua drama berkenaan masih berbaki dalam sebulan.

"Tidak dinafikan, saya tiada pendapatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sebagai pelakon, saya hanya bergantung kepada pendapatan projek drama. Sekarang, banyak duit simpanan sudah keluar memandangkan tiada pendapatan.

"Bukan hanya tiada kerja lakonan, ulasan atau kerja promosi produk dalam laman Instagram (IG) pun tiada kerana banyak syarikat mahu mengurangkan kos," katanya.

Jejaka kelahiran Taiping, Perak itu berkata, dia menjadikan ruang 'berkurung' dengan menonton saluran televisyen seperti Netflix untuk memperbaiki mutu lakonan.

"Saya tidak hanya membataskan diri menonton drama dan filem tempatan, malah juga karya luar negara. Ternyata, banyak drama atau filem yang ditonton secara tidak langsung menjadi ruang memperbaiki kelemahan lakonan.

"Saya juga menonton drama lakonan sendiri yang tidak sempat ditonton, selama ini. Apabila ada stesen televisyen yang menyiarkan kembali drama saya, ini masanya untuk menonton.

"Tiada istilah syok sendiri menonton drama lakonan. Ia lebih kepada meneliti kelemahan dan kekurangan yang mungkin terlepas pandang ketika berlakon. Kebiasaannya, sebagai pelakon, saya tak tahu secara terperinci gerak lakonan yang dipersembahkan," katanya.

Berita Harian X