Jumaat, 8 Mei 2020 | 11:00am
Shima keletihan menjual laksam di mana tempahan meningkat daripada 20 pek kepada 80 pek sehari. Foto IG Shima Anuar
Shima keletihan menjual laksam di mana tempahan meningkat daripada 20 pek kepada 80 pek sehari. Foto IG Shima Anuar

'Jual laksam pun susah'

KUALA LUMPUR: Kali pertama berniaga, pelakon, Shima Anuar berkongsi pengalaman berdepan kerenah pelanggan yang menguji kesabaran.

Shima, 29, mendakwa seorang pelanggan yang juga petugas penghantar makanan, memberi layanan kasar terhadap dirinya.

Lebih mengecewakan, dakwa Shima, pelanggan terbabit memburukkan dirinya dengan menghantar e-mel berbaur fitnah kepada sebuah portal tempatan.

"Saya tidak faham kenapa dia sanggup buat begitu. Kalau mahu diikutkan, saya tidak beri layanan buruk kepadanya. Perkara ini boleh dilihat dalam perbualan yang saya muat naik di Instagram (IG)," katanya kepada BH Online.

Menceritakan kejadian itu, Shima berkata, penghantar makanan terbabit memesan laksam yang dijual.

"Apabila mahu membayar, dia beritahu, nombor akaun saya tidak lengkap. Jadi, dia meminta untuk membayar secara tunai.

"Kebetulan, ketika itu, saya sibuk di dapur menyiapkan pesanan. Saya balas mesej dikirim 30 minit kemudian. Selepas itu, dia terus menyekat saya di WhatsApp dan membatalkan pesanan," katanya.

Pelakon filem Highland Tower menyangka salah faham dengan pelanggan terbabit, terhenti di situ.

Namun, sangkaan meleset apabila pelanggan terbabit meninggalkan komen negatif di IG.

"Saya memuat naik perkongsian mengenai ragam pelanggan di IG, dia komen meluahkan perasaan tidak puas hati.

"Tidak lama kemudian, dia membuka sekatan WhatsApp dan memohon maaf. Saya tidak membalas selepas suami nasihat usah dilayan kerana tidak mahu perkara ini berpanjangan," katanya.

Namun, tidak diduga, dakwa Shima, Selasa lalu, dia mendapat tahu individu terbabit melayangkan e-mel kepada sebuah portal dan memburukkan dirinya.

"Saya tak faham apa motif dia berbuat demikian," katanya.

Selain itu, ibu kepada dua cahaya mata ini kesal dikatakan hanya menjual laksam kepada orang kaya.

"Bukan sahaja dituduh memberi layanan kasar, dia juga mendakwa saya hanya menjual laksam kepada orang kaya.

"Kalau fikir logik, macam mana saya hendak tahu setiap pelanggan kaya atau miskin. Takkanlah saya nak tanya mereka kaya atau miskin, baru saya jual," katanya.

Shima mendakwa, sejak itu, pelanggan terbabit mendiamkan diri.

"Kalau kita lihat di sosial media sekarang, artis sering menjadi mangsa buli seperti ini. Semakin menjadi-jadi.

"Sehubungan itu, kalau wanita terbabit makin menjadi-jadi, saya akan ambil tindakan sebab saya tak buat salah," katanya.

Shima mula menjual laksam sejak seminggu lalu selepas air tangannya itu

dipuji jiran.

"Pada mulanya, saya teringin makan laksam. Apabila cari di IG, tiada orang

yang menjual.

"Jadi saya cari resipi dan masak sendiri. Ini kali pertama saya masak, saya kongsi dengan jiran-jiran.

"Mereka memuji lalu timbullah idea untuk menjual. Alang-alang tiada kerja di rumah, mengapa tidak saya menjual laksam. Lagipun hendak membuat laksam ini agak renyah, jadi tidak ramai menjual," katanya.

Daripada 20 pek, kini jualan laksam air tangan Shima meningkat kepada 80 pek sehari.

Berita Harian X