Jumaat, 1 Mei 2020 | 8:30am
Penerbit, Darling Ngasri ajak penonton memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan menonton drama Hero musim kedua. - Foto Darling Ngasri
Penerbit, Darling Ngasri ajak penonton memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan menonton drama Hero musim kedua. - Foto Darling Ngasri

Darling Ngasri teruskan drama Hero musim kedua

KUALA LUMPUR: Sambutan baik terhadap drama bersiri, Hero mendorong penerbitnya, Darling Ngasri menghasilkan kesinambungan musim kedua.

Musim kedua drama berkisar dunia bomba yang diterbitkan oleh NS Star Sdn Bhd disiarkan menerusi kaca TV2 sejak 7 April lalu.

Jika musim pertama, drama Hero diarahkan Bade Azmi, musim kedua pula ditukar kepada Jo Yusof. Drama 26 episod itu dibintangi Redza Rosli, Sarah Hildebrand, Aidil Aziz, Riz Amin, Oktovia Manrose, Shah Havzee, Anne Ngasri, Naim Shamsol, Shaharudin Thamby dan ramai lagi.

Darling berkata, setiap episod sejam siaran membawa judul berbeza, namun mempunyai kesinambungan dari segi jalan cerita.

"Kami masih bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Menariknya, drama Hero musim kedua berbeza kerana menampilkan jalan cerita, cabaran dan barisan pelakon berlainan. Musim pertama dibintangi Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah, Fezrul Khan, Mimi Ernida, Rusdi Ramli, Tengku Fiella Afzan Rahman dan Akmal Rahman," katanya kepada BH Online.

Katanya, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dimanfaatkan apabila ruang berkenaan boleh dipenuhi dengan menonton televisyen di rumah.

"Masa beginilah boleh memanfaat momen bersama keluarga. Saya percaya penonton mempunyai banyak masa terluang dan menonton drama yang disiarkan.

"Saya ramai yang menjadikan waktu senggang dengan mencuba pelbagai resipi makanan, selain menonton TV. Kita harus membataskan waktu di luar untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19, jadi semarakkan waktu di rumah bersama keluarga.

"Jangan lupa saksikan drama Hero yang menampilkan cabaran dan tugasan pasukan Bomba," katanya.

Berita Harian X