Rabu, 29 April 2020 | 1:00pm
Filem Bulan & Pria Terhebat sempat ditayangkan tujuh hari bulan lalu, sebelum PKP dikuatkuasakan. Foto IG Filem Bulan & Pria Terhebat
Filem Bulan & Pria Terhebat sempat ditayangkan tujuh hari bulan lalu, sebelum PKP dikuatkuasakan. Foto IG Filem Bulan & Pria Terhebat

'Filem RM4 juta, tayang tujuh hari'

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan panggung wayang memberi tekanan kepada penggiat seni apabila filem dihasilkan terpaksa ditarik balik atau ditunda tayangan berikutan pandemik melanda negara.

Antara filem yang menerima nasib itu adalah Bulan & Pria Terhebat yang dihentikan tayangannya selepas seminggu dipertontonkan.

Cukup malang, dalam tempoh itu, filem berkenaan meraih kutipan yang sangat rendah, sedangkan kos pembikinan menelan RM4 juta.

Senario itu pasti menimbulkan rasa bimbang kepada penerbit, Nizra Entertainment yang sebelum ini menaruh harapan filem bergenre aksi komedi ini meraih kutipan pecah panggung.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment, Nik Iruwan Nik Izani berharap pihaknya diberi peluang kedua agar filem terbabit ditayangkan semula selepas negara kembali pulih daripada penularan COVID-19.

"Filem Bulan & Pria Terhebat sempat ditayangkan selama seminggu sebelum ditarik balik berikutan pelaksanaan PKP dan pawagam ditutup.

"Walaupun sempat menemui khalayak selama tujuh hari, namun, saya dapati tidak ramai penonton datang. Ini disebabkan ketika itu, berita wabak COVID-19 hangat diperkatakan dan penonton tidak mahu mengambil risiko dijangkiti.

"Situasi ini meletakkan kami sebagai penerbit dalam keadaan sukar. Jumlah kutipan sangat rendah kerana tempoh tayangan singkat dan tidak ramai penonton.

"Sehubungan itu, kami berharap pawagam menimbangkan permintaan agar filem terbitan kami ini dapat ditayangkan semula dengan tarikh baharu," katanya kepada BH Online.

Tambah Nik Iruwan, komen positif penonton dan desakan ramai yang mahu  filem Bulan & Pria Terhebat ditayangkan semula memberi keyakinan karyanya mampu memberi pulangan yang cukup besar kepada produksi.

Filem terbitan bersama Astro Shaw dan Skop Production ini mula menemui penonton awal Mac lalu sebelum ditarik balik apabila arahan PKP dikuatkuasakan.

"Penarikan tayangan filem itu dibuat serentak di semua lokasi termasuk Brunei dan Singapura," kata Nik Iruwan.

Mengulas usaha Persatuan Penerbit Filem (PFM) yang mahu membawa keluhan penggiat filem yang terjejas akibat COVID-19 kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Nik Iruwan menyambut baik usaha berkenaan.

"Apa sahaja usaha persatuan untuk membantu penggiat filem, sangat dialu-alukan. Dengan situasi sekarang, kita lihat ramai penerbit filem yang terjejas berikutan wabak ini. Ramai petugas belakang tabir yang tidak dapat bekerja berikutan PKP.

"Mungkin KKMM melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) boleh memikirkan bantuan yang sesuai demi memastikan industri perfileman tanah air terus berkembang walaupun berdepan saat getir," katanya.

Terdahulu, PFM dilaporkan mahu bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bagi membincangkan masalah penggiat industri perfileman yang terjejas akibat pandemik itu.

Pengarah filem Bulan & Pria Terhebat, Ghaz Abu Bakar juga menaruh keyakinan filem itu mampu pergi lebih jauh jika ditayangkan semula.

"Sudah tentu saya mengharapkan filem ini dapat ditayangkan semula selepas PKP berakhir dan situasi kembali pulih.

"Rata-rata mereka yang sempat menonton filem ini suka dengan sentuhan saya kali ini," katanya yang pernah menghasilkan filem pecah panggung, Polis Evo.

Dalam perkembangan berkaitan, Ghaz memuji keprihatinan PFM mengetengahkan permasalahan industri filem kepada pihak berwajib.

"Usaha PFM itu saya anggap sebagai sokongan terhadap kami sekali gus memberi keyakinan kepada pengarah dan penerbit dalam mempertahankan karya mereka," katanya.

Bagi memastikan filem Bulan & Pria Terhebat terus bertahan selepas peluang kedua diberi pawagam atau pemamer, Ghaz bersama penerbit merangka strategi pemasaran lebih efektif.

"Saya mencadangkan penerbit merangka strategi baharu seperti memaparkan testimonial atau komen mereka yang sudah menyaksikan filem ini.

"Pelakon seperti Zahirah MacWilson antara yang komited dan bersedia membantu mempromosikan filem ini jika ditayangkan semula," katanya.

Berita Harian X