Selasa, 28 April 2020 | 1:53pm
Reda pemergian suami, Hidayah kongsi foto detik manis mereka disatukan di Instagram. Foto IG Siti Nurhidayah Mohd Ali
Reda pemergian suami, Hidayah kongsi foto detik manis mereka disatukan di Instagram. Foto IG Siti Nurhidayah Mohd Ali

Hidayah sedih sambut Ramadan tanpa Allahyarham Abam

KUALA LUMPUR: Balu pelakon dan pelawak terkenal, Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali berkongsi kesedihan kali pertama menyambut Ramadan tanpa suami.

Melalui video yang dimuat naik di Instagram (IG), Siti Nurhidayah atau mesra disapa Hidayah, 29, mengimbau kenangan manis bersama arwah suami ketika berpuasa di kampungnya di Sabak Bernam, Selangor, tahun lalu.

"Tahun lalu, puasa balik Sabak Bernam, mesti pergi bazar Ramadan beli juadah berbuka bersama arwah abang. Beli murtabak, ayam panggang, ayam golek dan macam-macam lagi.

"Adik-beradik semua balik berkumpul untuk berbuka sama-sama.

"Ramadan tahun ini terasa sangat berpuasa tanpa arwah abang di sisi sayang... Semoga abang tenang di sana," luahnya.

Reda dengan apa yang berlaku, Hidayah berkata, hanya kenangan menjadi peneman dalam meneruskan kehidupan.

"Kenangan kekal abadi hingga ke syurga. Al-Fatihah (dibaca) untuk Allahyarham suamiku tersayang, Syed Umar Mokhtar," katanya.

Video durasi 17 saat itu turut memaparkan Hidayah bersama arwah Abam disambut keluarga ketika pulang di kampung.

Ramai pengikut bersimpati dan mendoakan Hidayah terus tabah dalam menghadapi dugaan.

Pada 10 Februari lalu, Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi, dipercayai akibat demam panas.

Arwah Abam mendirikan rumah tangga dengan Hidayah pada 8 Disember 2017. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia 10 bulan.

Berita Harian X