Ahad, 26 April 2020 | 8:30am
Aishah pada mulanya bercadang menghasilkan 1,000 keping pelindung muka, namun, sumbangan penaja mendorong dia menambah stok. Foto IG Aishah
Aishah pada mulanya bercadang menghasilkan 1,000 keping pelindung muka, namun, sumbangan penaja mendorong dia menambah stok. Foto IG Aishah

COVID-19 : Aishah sasar siapkan 2,000 keping pelindung muka

KUALA LUMPUR: Bermula suka-suka, penyanyi Aishah boleh berbangga apabila pelindung muka yang dihasilkan dengan kreativiti sendiri, digunakan petugas barisan hadapan.

Lebih mengagumkan, sehingga kini, Aishah sudah menghasilkan lebih 500 keping pelindung muka sendirian. Penyanyi ini mahu mengeluarkan 2,000 keping alat itu untuk diagihkan kepada wira negara.

"Sehingga kini, saya sudah menghasilkan 550 alat pelindung muka yang sudah diagihkan kepada barisan petugas hadapan di Pusat Kesihatan Kecil (PKK) di beberapa buah daerah terpilih di Negeri Sembilan.

"Kami pilih pusat berkenaan kerana mereka terdedah dengan risiko dijangkiti COVID-19. Di sana, prosedur ujian saringan wabak itu turut dijalankan.

"Pusat perubatan yang besar selalunya sudah ada pihak lain yang bekerjasama dengan mereka. Selepas ini, saya akan menghasilkan alat pelindung muka untuk PKK di Perak pula.

"Pada mulanya, saya bercadang menghasilkan 1,000 keping sahaja. Tetapi selepas ada penaja berminat, saya tambah bilangannya menjadi 2,000 keping," katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut mengenai projek amalnya itu, penyanyi Janji Manismu ini memberitahu, setiap hari dia menghasilkan 100 keping pelindung muka dengan bantuan dua anak.

"Selalunya, saya akan memulakan kerja pada jam 8 malam dan berakhir antara jam 1 atau 2 pagi. Anak-anak turut membantu daripada segi kerja-kerja pembungkusan.

"Sekarang, saya sedang menyiapkan baki stok untuk fasa awal projek ini. Selepas itu, barulah saya tumpu usaha untuk bekalan ke PKK di Perak. Saya ingin berterima kasih kepada pihak yang sudi memberi sumbangan menjayakan projek ini.

"Hendak bantu bertugas di barisan hadapan, saya tak berkelayakan. Jadi, inilah saja sumbangan yang mampu saya beri kepada mereka," kata pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin ini.

Untuk mencantikkan alat pelindung muka selain memberi sentuhan peribadi, Aishah meletakkan pelekat memaparkan judul lagu popularnya.

Berita Harian X